Kerajaan susun langkah haramkan perkahwinan kanak-kanak
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil langkah sementara bagi mengekang perkahwinan melibatkan kanak- kanak bawah umur dan mengharamkannya sama sekali apabila tiba masanya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa semalam.
Beliau berkata prosedur operasi standard ( SOP) berkenaan, yang akan dimuktamadkan bulan ini, bertujuan mewujudkan langkah jangka pendek bagi mengetatkan undangundang sedia ada sehinggalah kerajaan menemukan penyelesaian konkrit untuk melarang sepenuhnya perkahwinan melibatkan kanak-kanak.
“Kami sedang menyediakan SOP bagi mengetatkan lagi undang-undang (sedia ada) kerana selagi terdapat peruntukan dengan kebenaran mahkamah, seseorang itu perlu menghormati undang-undang.
“Bagaimanapun, biarlah saya nyatakan di sini bahawa ini hanyalah suatu langkah sementara, yang (langkah) jangka panjang itu sangat penting (langkah) dan kami akan sampai ke peringkat di mana perkahwinan kanakkanak akan diharamkan,” katanya di lobi Parlimen semalam.
Mujahid berkata kerajaan sedang berdepan dengan beberapa masalah teknikal untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak kerana ia melibatkan proses meminda undang-undang sedia ada.
Mujahid tidak meno- lak kemungkinan bahawa dalam jangka panjang, suatu Akta, sama ada sivil atau syariah, akan dipinda bagi mengharamkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan ingin mendapatkan pandangan daripada semua pemegang kepentingan termasuk para cerdik pandai Islam dan hakim Mahkamah Syariah untuk mengkaji perkara itu sebelum ia dibawa ke Parlimen.
Beliau berkata undangundang sedia ada berkaitan perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur sudah begitu jelas di mana seseorang lelaki yang ingin berkahwin, mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, manakala wanita pula berusia sekurangkurangnya 16 tahun.
Mujahid berkata demikian apabila diminta mengulas satu kes baru-baru ini di mana seorang lelaki berusia 41 tahun di Kelantan berkahwin dengan kanakkanak berusia 11 tahun.
Dalam perkara berasingan, Mujahid berkata beliau akan menganjurkan perjumpaan tertutup antara Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) dan Timbalan Ketua Menteri ll Pulau Pinang P. Ramasamy berkaitan dakwaan Ramasamy mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka.
Kata menteri itu, beliau menjangka pertemuan berkenaan akan diadakan di Putrajaya. — Bernama