Tanah projek NFC akan dibangunkan semula: MB
SEREMBAN: Kerajaan negeri akan membangunkan semula ladang ternakan lembu yang sebelum ini dikelolakan syarikat National Feedlot Corporation (NFC), sekiranya projek itu berpindah ke Johor.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dalam masa terdekat bagi bagi membincangkan perkara itu.
“Langkah ini adalah bagi memastikan bekalan daging di negeri mencukupi untuk memenuhi permintaan di samping bertujuan membantu masyarakat khususnya para penternak di sekitar Tampin.
“Kita sedia maklum kes NFC ketika ini masih lagi di mahkamah kerana itu apa juga rancangan terhadap pembangunan yang akan dilaksanakan di tapak berkenaan, kena tunggu kes selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata kerajaan negeri juga akan membangunkan empat lokasi untuk dijadikan sebagai ladang satelit bagi penternakan lembu di negeri.
“Saya telah arahkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Bakri Sawir untuk mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,.
“Empat kawasan ini kita akan pecahkan kepada fidlot atau ladang kecil supaya lebih ramai penternak dapat terlibat sekaligus memperoleh manfaat,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, berkata projek NFC akan diberi nafas dan jenama baharu dengan Johor menjadi hab ternakan lembu daging.
Katanya satu kertas cadangan kepada Kabinet akan dikemukakan untuk meneruskan projek yang objektifnya sangat baik iaitu untuk membekalkan 30 peratus keperluan daging tempatan. — Bernama