Bintang Piala Dunia 2018 dominasi senarai pendek anugerah Pemain Terbaik FIFA
PARIS, Perancis: Pemenang Piala Dunia 2018 dari Perancis, Kylian Mbappe, Antoine Griezmann dan Raphael Varane, berada bersamasama calon awal Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam senarai pendek 10 pemain untuk anugerah Pemain Terbaik FIFA Selasa lepas.
Luka Modric juga dicalonkan selepas membantu Croatia melangkah ke final, dengan pemain tengah kelab Real Madrid itu dipilih sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia 2018.
Dua bintang antarabangsa Belgium, Eden Hazard dan Kevin de Bruyne, juga disenarai bersamasama penyerang England, Harry Kane dan juga penyerang Liverpool, Mohamed Salah.
Bagaimanapun, tiada tempat untuk bintang antarabangsa Brazil dan kelab Paris Saint Germain (PSG), Neymar.
Jurulatih kebangsaan Perancis, Didier Deschamps dan rakan senegaranya, Zinedine Zidane, yang membimbing Real memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut, mengetuai 11 calon untuk anugerah Jurulatih Terbaik FIFA.
Deschamps menjadi orang ketiga memenangi trofi Piala Dunia sebagai pemain dan juga jurulatih, menyertai kelab ekslusif termasuk Mario Zagallo dari Brazil dan Franz Beckenbauer dari Jerman.
Zlatko Dalic juga diiktiraf selepas membimbing Croatia ke final sementara Gareth Southgate (England) dan Roberto Martinez (Belgium) adalah antara calon selepas masing-masing membimbing pasukan ke separuh akhir.
Enam pemain dalam skuad wanita Lyon yang memenangi Liga JuaraJuara, bersaing untuk anugerah Pemain Wanita Terbaik, termasuk penyerang Ada Hegerberg.
Jurulatih Lyon, Reynald Pedros adalah salah seorang dari 10 calon untuk jurulatih bola sepak wanita terbaik.
Dengan bantuan undian peminat, senarai akhir akan dikurangkan kepada tiga calon dalam setiap kategori, yang akan didedahkan pada awal bulan September. — AFP