Kerajaan ambil perhatian masalah dihadapi MDP
PAPAR: Kerajaan akan mengambil perhatian mengenai kekurangan yang dihadapi oleh Majlis Daerah Papar (MDP) khususnya bangunannya yang tidak luas.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, bangunan itu didapati dalam keadaan baik namun tidak dapat menampung jumlah kakitangan yang berkhidmat.
“Bangunan ini baik tapi tidak dapat menampung sejumlah 176 kakitangan di sini.
“Memang ada keperluan sebab Papar semakin besar tetapi kaunter aduan, unit penguat kuasa masih bersesak-sesak di dalam sehingga wujud keadaan tidak selesa,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Majlis Daerah Papar di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, perkara itu akan diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri yang baharu.
Sebelum itu ketika dalam sidang media, Jaujan menjelaskan Papar adalah antara daerah yang tertua di Sabah, namun pencapaiannya agak ketinggalan berbanding daerah lain di negeri ini.
“Saya lihat banyak perkara yang perlu dilakukan di sini, keperluan bangunan, pentadbirannya dan keupayaan daya kerja kakitangan di majlis daerah ini.
“Dengan pengumuman kerajaan untuk menjadikan Papar sebagai Hab Pendidikan, satu prasarana pengurusan yang lebih baik dari hari ini diperlukan di sini,” katanya.
Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, antara yang perlu dipertingkatkan adalah keupayaan pengurusan pentadbiran. Ia penting kerana Papar bakal menerima pelbagai institusi pendidikan termasuk sekolah teknikal.
Katanya, kerajaan ingin melahirkan masyarakat madani yang bukan sahaja mahir dalam bidang agama contohnya tetapi juga lebih produktif serta berilmu dalam apa juga keadaan diperlukan.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu bengkel penambahbaikan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diadakan selepas selesainya sesi lawatan kerja ke semua PBT di Sabah.
“Selepas kita turunkan kuasa kepada PBT nanti kita juga akan berbincang berdasarkan undang-undang yang ada dalam perkhidmatan untuk menaikkan gred perjawatan kakitangan PBT seluruh Sabah,” katanya.
Hadir sama ialah Menteri Undang- Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Datuk Aidi Moktar, Pembantu Menteri KKTP Hiew Vun Zin dan Setiausaha Tetap KKTP Datuk Ginun Yangus.