Boost jalin pakatan dengan UnionPay International untuk perluas operasi global
KUALA LUMPUR: Boost, aplikasi e-dompet tempatan yang dibangunkan Axiata Digital Services Sdn Bhd, mengumumkan pakatan dengan jenama pembayaran global, UnionPay International, bagi mengembangkan operasinya di Malaysia dan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Christopher Tiffin berkata kerjasama berkenaan bertujuan membolehkan pengguna menggunakan aplikasinya untuk memanfaatkan tawaran UnionPay bagi berurus niaga di seluruh dunia dan juga untuk pelancong berurus niaga di Malaysia.
Di samping itu, Boost dan UnionPay akan bersama-sama meningkatkan usaha pemasaran dalam mempromosikan perkhidmatan mereka dan memantapkan lagi rancangan pendidikan dan pengembangan mereka.
“Memandangkan UnionPay International adalah jenama pembayaran antarabangsa terkemuka di dunia, kerjasama ini membolehkan kami mewujudkan kaitan dengan pedagang dan pelanggan di dalam dan di luar Malaysia, dengan memanfaatkan kehadiran antarabangsa UnionPay.
“Ini merupakan satu lagi kejayaan dalam meluaskan fungsi dan kegunaan Boost untuk memberikan pengalaman yang lebih bermanfaat untuk rakan kongsi dan pelanggan kami,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkongsian itu, di sini.
Pada majlis menandatangani MoU itu, Boost diwakili oleh Tiffin, Axiata Digital Services oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah, manakala UnionPay International diwakili oleh Pengurus Besar Asia Tenggara, Wenhui Yang serta Pengarah Produknya, Shuan Ghaidan.
Mengenai perkongsian itu, Yang berkata: ”Dengan nilai teras syarikat menumpukan kepada perkongsian pertumbuhan dan kerjasama faedah bersama dengan rakan-rakan dan membawa perspektif baharu kepada industri pembayaran, menyertai kekuatan Boost menandakan perkembangan semula jadi dalam perniagaan kami ketika kami beralih ke arah mendigitalkan negara di seluruh dunia.
“Ini juga selaras dengan strategi kami untuk memastikan perniagaan kami dapat memenuhi keperluan pembayaran perniagaan dan pengguna Malaysia.” — Bernama