PH Sarawak akan umum cadangan Perjanjian Tawaran Baharu
KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan mengumumkan cadangan Perjanjian Tawaran Baharu yang akan dibawa ke jawatankuasa khas kabinet bagi melihat penguatkuasaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen selaku pengerusi PH Sarawak pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di sini semalam.
Ahli Parlimen Stampin itu memberitahu, pengumuman cadangan Perjanjian Tawaran Baharu tersebut akan diumumkan hari ini bersama Menteri Kerja Raya Baru Bian yang juga timbalan pengerusi PH Sarawak.
“Semua Ahli Parlimen PH termasuk Baru akan hadir pada pengumuman cadangan Perjanjian Tawaran Baharu yang akan dibuat di luar sidang Parlimen esok (hari ini).
“Jawatankuasa khas kabinet yang akan dibentuk nanti akan melihat cara lain untuk perkongsian hasil minyak secara adil dan saksama oleh kerajaan,” katanya.
Chong menjelaskan bahawa cadangan Perjanjian Tawaran Baharu itu nanti lebih baik berbanding yang pernah diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sepanjang memerintah negara ini kepada Sarawak.
Tambahnya, cadangan Perjanjian Tawaran Baharu itu dibuat ekoran Kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak tawaran yang diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Kita cuba cara lain demi menjaga kepentingan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Terdahulu, Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa mengumumkan bahawa Sim Kiat Leng dilantik sebagai pembantu khas beliau yang baharu bagi menjaga hal ehwal di kawasan yang diwakilinya.
“Beliau akan bersama Aziz Isa dan Christina Chew membantu menjaga kawasan yang diwakili saya.
“Justeru, penduduk di kawasan yang diwakili saya boleh menghubungi Sim di talian 016-4262210,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan Pengerusi DAP Sri Aman Leon Jimat Donald.