Kedutaan bantu bawa pulang jenazah rakyat Malaysia
JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia sedang memproses untuk membawa pulang jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB) Indonesia.
Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia Zamshari Shaharan berkata jenazah Allahyarham Siti Nur’esmawida Ismail, 30, yang kini ditempatkan di Hospital Selong, Timur Lombok akan dipindahkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Provinsi NTB di Bandar Mataram, sebelum dibawa pulang.
“Proses penghantaran sedang diuruskan ejen yang dilantik manakala kos penghantaran ditanggung syarikat insurans,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pegawai kedutaan Malaysia akan tiba di Lombok hari ini bagi menyelaras proses itu termasuk membantu rakyat Malaysia lain yang terkandas untuk kembali ke tanah air.
Setakat jam 4 petang semalam, dua kumpulan pelancong rakyat Malaysia ( kumpulan yang mendaki Gunung berapi Rinjani di Lombok Timur) telah diberi bantuan sewajarnya oleh pihak berkuasa Indonesia.
“Kumpulan (pertama) seramai 19 individu di Senaru, Lombok Utara kini dibawa menuju ke Senggigi di Barat Lombok. Kesemua mereka dilaporkan selamat.
“( Manakala) Kumpulan kedua (sekumpulan dengan mangsa yang terkorban) seramai 17 pendaki itu masih di Sembalun, Timur Lombok. Enam daripadanya (dua cedera parah dan empat cedera ringan) sedang dirawat di Hospital Selong, Timur Lombok,” katanya.
Beliau berkata kedutaan juga dimaklumkan bahawa masih ada warga Malaysia yang berada di Lombok tetapi belum dapat dihubungi hingga kini.
“Rakyat Malaysia yang berada di Lombok dan memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak kedutaan menerusi e- mel mwjakarta@kln.gov.my/ jkonsular@gmail.com atau nombor telefon +62215224947 dan + 6281380813036 ( WhatsApp),” katanya.
Sementara itu, media Indonesia melaporkan, setakat 6 petang ini, 14 mangsa terkorban dalam kejadian gempa bumi yang turut merosakkan beribu kediaman dan bangunan itu.
Pihak berkuasa Indonesia berkata beratus penduduk dilaporkan cedera dan kini sedang dirawat di hospital serta klinik di sekitar Lombok. — Bernama