Pedang antara barang rampasan Ops Mega 3.0
SHAH ALAM: Pedang merupakan antara senjata yang dirampas dipercayai digunakan pendatang asing bagi mengancam nyawa anggota yang menjalankan Ops Mega 3.0 di sekitar Taman Subang Mas, Subang Jaya di sini malam kelmarin.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman yang menyertai operasi bersama Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara, mereka turut merampas beberapa senjata lain yang membahayakan anggota pada operasi bermula jam 12 tengah malam itu.
“Seramai 157 pendatang asing tanpa izin ( PATI) ditahan daripada 380 orang yang diperiksa atas pelbagai kesalahan Imigresen termasuk dokumen palsu dalam operasi ini,” katanya kepada pemberita selepas pertama kali menyertai Ops Mega 3.0 berkenaan malam kelmarin.
Beliau berkata, sepanjang tempoh Ops Mega 3.0 dijalankan bermula 1 Julai sehingga Jumaat lepas, seramai 4,476 PATI telah ditahan menerusi 1,568 operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen di seluruh negara.
Katanya, seramai 91 ma- jikan turut ditahan bagi tempoh yang sama manakala 745 majikan telah didakwa dan diambil tindakan.
“Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu seramai 1,255 orang, diikuti warga Bangladesh (1,246), Myanmar (455), Filipina (294) dan bakinya adalah dari negaranegara lain.
“Ini adalah komitmen yang dizahirkan dalam usaha mem- banteras masalah PATI dan pekerja asing serta memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kedaulatan negara ini,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Pada operasi sama, Mustafar berkata ancaman keselamatan oleh PATI yang bersikap agresif terhadap anggota dan pegawainya sering berlaku ketika operasi dijalankan sebelum ini.— Bernama