Taska di Kedah ambil langkah cegah HFMD
ALOR SETAR: Taska Sinar Nur Kasih, yang terletak di pekarangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ampang Jajar di sini mengambil langkah drastik dengan melakukan langkah- langkah pencegahan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).
Pengusaha taska berkenaan, Minarni Mohd Hussain berkata, walaupun Kedah tidak serius seperti Pulau Pinang, namun langkah pencegahan tetap diambil dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Antaranya ialah dengan menutup sementara taska itu pada Isnin lepas untuk kerja- kerja pembersihan yang menggunakan cecair pembasmi kuman untuk mencuci kemudahan dan peralatan pembelajaran yang disediakan di sini.
“Ini adalah inisiatif kita sendiri dan alhamdulillah ibu bapa semuanya faham wabak ini dan menyokong usaha kita dengan mereka hadir bersama kita dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang untuk membantu pihak taska, kita juga mendapat kerjasama daripada tukang kebun MADA yang membersihkan longkang dan lantai premis,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Minarni berkata, pihak taska juga sentiasa memeriksa tubuh badan bayi dan kanak-kanak yang dihantar oleh waris pada setiap pagi bagi mengesan jika terdapat simptom HFMD seperti ruam dan ulser di dalam mulut.
“Kita juga gunakan jangka suhu untuk menguji suhu badan mereka dan kita periksa dengan teliti di tapak tangan, tapak kaki dan mulut mereka, jika suhu melebihi 35 darjah Celsius kita akan maklumkan kepada ibu bapa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Seramai 30 kanak-kanak termasuk dua bayi berusia lapan bulan hingga empat tahun ditempatkan di taska berkenaan setiap hari kecuali pada Jumaat dan Sabtu.
Minarni berkata, selain bayi dan kanak-kanak, pihak pengasuh juga diwajibkan mengguna pencuci tangan sebelum dan selepas bermain dengan mereka dan perkara sama dilakukan di dua cawangannya di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, di sini dan sebuah lagi di Kepala Batas, Jitra.
Sementara itu waris kanakkanak, Ahmad Hambali Mohd Puat berkata, pendekatan yang diambil pihak Taska Sinar Nur Kasih adalah langkah yang tepat memandangkan HFMD ketika ini masih lagi menular dan membimbangkan.
“Kami pihak waris kalau dipanggil untuk membantu pihak taska, kami sudi datang mencuci dan beri kerjasama penuh bagi sama-sama menjaga keselamatan mereka kerana kita bimbang penyakit ini boleh berjangkit kepada orang lain dan membawa maut,” katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan seorang kanakkanak berusia dua tahun lima bulan dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah, Sarawak meninggal dunia kerana disyaki menghidap HFMD.
Ianya disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang berkata penyebab kematian adalah disebabkan jangkitan paru-paru yang teruk (severe pneumonia) dengan jangkitan HFMD. — Bernama