Baru menganjurkan tender terbuka secara meluas kerana kaedah itu lebih kompetitif dan sangat adil dari segi komersial
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata beliau akan memastikan projek dan perolehan kerajaan pada masa depan diselia dengan teliti bagi menghentikan amalan sebelum ini membabitkan tender dan kontrak dengan harga yang melambung tinggi.
“Secara peribadi saya akan menganjurkan tender terbuka secara meluas disebabkan cara ini lebih kompetitif dan sangat adil dari segi komersial,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Beliau berkata bagi membolehkan perkara ini menjadi kenyataan, Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi lain dalam memastikan proses dan prosedur yang sewajarnya dilaksanakan sepanjang proses penilaian perolehan dan teknikal.
Baru berkata terdapat kebenaran dalam tanggapan umum bahawa sebelum ini, sungguhpun Kementerian Kerja Raya mempunyai pakar seperti jurutera dan juruukur kuantiti, tetapi ia tidak terlibat sepenuhnya dalam proses penentuan harga projek mega, sekali gus mengakibatkan kos melambung tinggi bagi projek sedemikian.
“Perkara ini ada kebenarannya. Tetapi Kementerian Kerja Raya kini ingin memastikan bahawa bagi projek infrastruktur yang dilaksanakan menggunakan kaedah konvensional atau perbelanjaan pembangunan, kami akan terlibat dengan aktif dalam menyediakan kepakaran teknikal kami sepanjang proses penilaian dijalankan bagi menentukan dengan lebih awal nilai tender,” katanya sebagai menjawab soalan bahawa sebelum ini kos tersebut ditentukan sebahagian besarnya oleh Kementerian Kewangan atau agensi lain.
Baru mengakui bahawa kementeriannya mempunyai input yang sangat sedikit membabitkan projek yang dilaksanakan di bawah mekanisme perkongsian sektor awam- swasta, bagaimanapun, pada masa depan, beliau juga akan mendesak bagi tender terbuka.
Menteri itu berkata pengecualian kepada sistem terbuka akan diberi kepada perolehan yang melibatkan keselamatan negara dan projek yang mengejar masa, misalnya ketika kecemasan seperti banjir oleh kerana disebabkan faktor masa, kerja hanya dihadkan kepada orang tertentu dan harga pula ditetapkan pada paras tertentu.
“Jadi maknanya, anda perlu memberikannya kepada kontraktor yang terhad disebabkan sifat projek itu sendiri. Bagaimanapun pemilihan kaedah tender tertakluk kepada hala tuju dasar kerajaan baharu, terutamanya Menteri Kewangan, dan ia banyak melibatkan dana yang ada.
“Sebaik sahaja ia adil, terkawal dan telus, saya fikir kita perlu yakin bahawa kontrak masa depan tidak hanya diputuskan oleh ‘orang tertentu’, sebaliknya akan lebih terbuka dan sangat kompetitif,” katanya.
Dalam pertemuan dengan kira-kira 200 orang pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Alor Setar minggu lepas, Baru berkata JKR membelanjakan kira- kira RM100 bilion setahun bagi perolehan menerusi pelbagai projek dan tender.
Bagi memastikan dana awam dibelanjakan secara berhemah, beliau berikrar untuk menggunakan tender terbuka secara meluas dan telus terutamanya bagi projek mega bagi mengelak pembaziran.
Dalam temu bual itu, Baru juga bersetuju dengan tanggapan awam bahawa meskipun Malaysia mempunyai infrastruktur dan kemudahan awam bertaraf negara maju, namun kualiti penyenggaraannya berada pada tahap dunia ketiga disebabkan kekangan bajet.
Beliau menyebut sebagai contoh kira-kira RM2 bilion diperlukan setiap tahun untuk menyenggara jalan raya persekutuan dan infrastruktur lain di bawah kementeriannya, bagaimanapun bajet kementerian untuk tujuan itu hanya antara RM600 juta dan RM800 juta atau tidak sampai pun 50 peratus daripada perbelanjaan sebenar yang diperlukan.
“Oleh sebab itu, kira-kira 30 peratus jalan persekutuan berada dalam keadaan yang uzur. Jalan raya boleh bertahan sehingga tujuh tahun sebelum perlu diturap semula. Di Malaysia, kita tidak lakukan kerana kita kekurangan dana. Ia merupakan satu masalah kerana pada masa sama kita juga menyenggara dan melaksanakan projek lain.”
Mengenai projek ikonik multi- bilion ringgit Lebuhraya Pan- Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak, iaitu projek infrastruktur terbesar yang pernah dilaksanakan di kedua-dua negeri berkenaan, Baru berkata kementeriannya sedang mengkaji pelaksanaan projek itu dengan memberi tumpuan kepada kos keseluruhan.
“Sekiranya terdapat ruang di mana pemegang taruh bersikap terbuka dan memahami keseluruhan kekangan yang kita ada sebagai sebuah negara, mengambil maklum tentang kegawatan ekonomi, kami sedang melihat kepada kemungkinan itu dan meneliti sejauh mana kami boleh bersetuju.
“Kami tidak memaksa orang tetapi kami cuba untuk berunding. Tegasnya, tentu saja kami tidak mahu berkompromi dengan keperluan teknikal selain skop projek dan aspek keselamatannya yang perlu dilindungi,” kata beliau apabila ditanya sama ada kerajaan akan mendesak supaya keseluruhan kos projek disemak semula.
Baru mendedahkan beberapa mesyuarat berkaitan isu ini telah pun dimulakan antara kontraktor dan kementerian kewangan di mana ‘beberapa cadangan’ disampaikan kepada mereka.
“Mereka sepatutnya kembali semula dan kami akan melihat apakah keputusan yang akan dibuat berkaitan cadangan kementerian”.
Beliau berkata setakat Mei, kira-kira 22.2 peratus daripada Fasa 1 lebuh raya di bahagian Sarawak telah dilaksanakan manakala di bahagian Sabah, 12 pakej daripada sejumlah 35 telah ditender. — Bernama
Sebaik sahaja ia adil, terkawal dan telus, saya fikir kita perlu yakin bahawa kontrak masa depan tidak hanya diputuskan oleh ‘orang tertentu’, sebaliknya akan lebih terbuka dan sangat kompetitif. Baru Bian Menteri Kerja Raya