Taklimat keselamatan dibuat sebelum bot karam
WASHINGTON: Kapten sebuah bot persiaran amfibia yang karam semasa ribut mengejut di Amerika Syarikat (AS) yang mengorbankan 17 orang, memberi taklimat kepada penumpang mengenai jaket keselamatan ketika keadaan masih tenang, menurut pihak penyiasat.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) sedang menyiasat insiden 19 Julai melibatkan sebuah bot persiaran yang karam di Tasik Table Rock berhampiran bandar Branson, Missouri.
Ia menyatakan ia telah selesai melakukan penilaian awal ke atas sistem perakam video digital yang ditemui dari kapal tersebut yang membawa 29 penumpang dan dua kru ketika kejadian.
Mangsa terselamat Tia Coleman yang kehilangan sembilan ahli keluarga dalam tragedi tersebut, menyatakan kapten memberitahu petugasnya, ketika bot telah berada di dalam air, bahawa mereka tidak memerlukan jaket keselamatan.
“Ketika tiba masa untuk mengambilnya, segalagalanya sudah terlewat dan saya percaya ramai mungkin boleh diselamatkan,” beliau memberitahu Fox59 TV.
NTSB pada Jumaat lepas telah mengemukakan kronologi yang diperolehi daripada rakaman, kira-kira jam 6.50 petang waktu tempatan kapten memulakan taklimat keselamatan sebelum bot itu memasuki air.
“Taklimat termasuk lokasi pintu kecemasan dan jaket keselamatan.
“Kapten kemudian menunjukkan cara penggunaan jaket keselamatan dan menunjukkan lokasi pelampung keselamatan,” menurut NTSB.
“Air kelihatan tenang ketika bot itu memasuki tasik pada jam 6.55 petang waktu tempatan,” sambungnya lagi.
Pelayaran dibuat kira-kira 25 minit selepas satu amaran cuaca dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
NTSB menyatakan kirakira jam 7 malam ombak kelihatan dan angin semakin kuat, mendesak pengemudi kapal, kru keduanya, untuk menurunkan penutup plastik.
Kru terbabit turut terkorban semasa kapal tersebut karam, menurut pejabat syerif, manakala kaptennya terselamat.
Menurut penilaian NTSB, satu amaran telah dibunyikan pada jam 7.04 petang waktu tempatan, berhenti, dan kemudian berbunyi lagi pada jam 7.07 petang. Dalam saat-saat terakhir rakaman, air telah melimpah ke dalam kawasan penumpang kenderaan tersebut, kata NTSB.
Ini menunjukkan tiada kesimpulan berkaitan punca kemalangan diperolehi daripada siasatan awal ini ketika pihak penyiasat meneruskan tugas mereka.
Bot persiaran hibrid yang dikenali sebagai ‘duck boat’ itu, dengan tayar yang membolehkannya dipandu di atas jalan raya namun juga boleh belayar di air, terkenal di kalangan pelancong di beberapa bandar namun terlibat dalam beberapa kemalangan maut sebelum ini.
Pada 2002, NTSB mencadangkan supaya kederaan amfibia memiliki keapungan simpanan seperti ruangan yang tidak boleh dimasuki air bagi membolehkan ia terapung dalam kejadian seperti banjir,
Arahan itu dibuat selepas kejadian pada 1999 membabitkan Miss Majestic, bekas kenderaan pendaratan Tentera AS, yang karam bersama 13 orang di Hot Springs, Arkansas, kerana penyelenggaraan yang tidak bersesuaian, menurut NTSB.