Gempa maut gegar Lombok
Sekurang-kurangnya 10 maut di pulau pelancongan terkenal Indonesia
JAKARTA: Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.4 melanda pulau pelancongan terkenal Indonesia Lombok semalam, mengorbankan sekurang- kurangnya 10 orang dan mencederakan puluhan lagi, menurut pihak berkuasa.
Gegaran kuat yang menyebabkan orang ramai lari bertempiaran dalam keadaan panik dari rumah dan hotel pada waktu awal pagi, diikuti dengan dua gegaran kedua yang kuat dan lebih 60 gegaran susulan.
“Gempa bumi telah mengorbankan sekurangkurang 10 orang, kira-kira 40 orang tercedera dan ratusan rumah mengalami kerosakan,” menurut Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap agensi mitigasi bencana Indonesia.
“Kami menganggarkan jumlah ini akan terus meningkat kerana kami masih belum selesai mengumpul data,” jelas Nugroho.
Seorang wanita Malaysia berusia 30 tahun antara mangsa maut, menurut beliau, sambil menambah mereka yang tercedera akibat terkena serpihan.
Gegaran dirasai kira-kira 100 kilometer jauhnya di pulau percutian sibuk Bali, walaupun terdapat tiada laporan mengenai kerosakan di sana.
Ketika pihak berkuasa bergegas memeriksa kerosakan bangunan dan infrastruktur, laluan perjalanan terkenal di Gunung Rinjani yang terpencil tertimbus tanah runtuh, menurut agensi bencana.
“Gempa bumi sangat kuat dan semua orang di dalam rumah saya panik, kami semua berlari ke luar,” menurut Zulkifli, penduduk di Lombok Utara, berhampiran pusat gempa.
“Semua jiran tetangga saya turut berlari keluar dan bekalan elektrik terputus tibatiba,” tambahnya.
Pusat gempa bumi cetek dikesan 50 kilometer timur laut bandar utama Mataram, menurut United States Geological Survey, jauh dari kawasan pelancongan utama di selatan dan barat pulau tersebut.
Ia menyatakan dua gegaran susulan berukuran lebih magnitud 5.
“Penduduk di Lombok Timur dan Mataram merasai gempa bumi kuat selama 10 saat, penduduk panik dan berlari keluar dari rumah mereka,” kata Nugroho sebelum itu, sambil menambah penduduk berlari ke kawasan terbuka seperti padang bola sepak.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan, menurut agensi geofizik dan meteorologi di Indonesia.
Di hotel pulau percutian itu, pelancong berlari keluar semasa gempa bumi berlaku awal pagi.
Di Katamaran Hotel and Resort di pantai Senggigi, kirakira 30 tetamu berkumpul di lobi hotel kira-kira setengah jam sebelum kembali semula ke bilik mereka.
“Mereka kembali tenang dan balik semula ke bilik sebaik sahaja kami menjelaskan gempa bumi tidak akan menyebabkan tsunami, semua telah kembali seperti sedia kala sekarang,” kata penyambut tetamu Ni Nyoman Suwarningsih.
Indonesia, kepulauan dengan ribuan pulau, terletak dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan panas aktiviti seismik.
Ia sering dilanda gempa bumi, kebanyakannya tidak berbahaya namun masih dalam keadaan berjaga-jaga terhadap gegaran yang mungkin menyebabkan tsunami.
Pada 2004, tsunami berpunca daripada gempa bumi bawah laut sekuat 9.3 magnitud di luar pantai Sumatera, di barat Indonesia, mengorbankan 220,000 orang di beberapa negara sekitar Lautan India, termasuk 168,000 di Indonesia.