Pengurusan hutan, industri berasaskan kayu diperkukuh
Sarawak perlu lihat semula dasar, ordinan sedia ada untuk tangani isu hutan di peringkat tempatan, global
KUCHING: Sarawak perlu melihat semula dasar-dasar dan ordinan-ordinan sedia ada untuk memperkukuhkan lagi pengurusan hutan dan industri berasaskan kayu kita.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perubahan dasar itu perlu untuk membolehkan Kerajaan Sarawak menangani isu-isu dihadapi hutan sama ada di peringkat tempatan atau global.
Menurutnya antara dasardasar yang perlu dikaji semula dan akan diperkenalkan ialah Dasar Hutan Sarawak, Pensijilan Pengurusan Hutan, Pembangunan Hutan Ditanam Atau Industri, Pelan Pembangunan Industri Kayu, Bahan Mentah Untuk Industri Kayu dan Hasil Hutan terutama cukai daripada produk-produk hiliran.
Beliau berkata draf dasardasar ini pada peringkat akhir perbincangan sebelum ia disahkan.
“Kerajaan Sarawak komited memastikan hutan dan sumber-sumber hutan kita diurus secara mapan malah hakikatnya dasar-dasar hutan yang baik telah dilaksana sejak 1954 bagi memastikan hutan di negeri ini tidak musnah akibat pembangunan dan pemodenan.
“Bagaimanapun kini pengurusan hutan di negeri ini semakin mencabar ekoran pertumbuhan sosioekonomi yang pesat, menuntut lebih banyak kawasan untuk pembangunan dan persaingan penggunaan tanah serta pencerobohan ke atas Estet Hutan Kekal (PFE),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Hutan Malaysia (MFC) Ke-18 di sebuah hotel di sini semalam.
Abang Johari berkata selari dengan perubahan dasar berkenaan, Kerajaan Sarawak memutuskan pemilikan Pensijilan Pengurusan Hutan (FMC) adalah mandatori untuk semua lesen pembalakan hutan jangka panjang di negeri ini pada 2022.
“Sebelum ini FMC hanya secara sukarela tetapi peningkatan keprihatinan masyarakat tempatan dan global terhadap isu alam sekitar, pensijilan pengurusan hutan menjadi keperluan utama pembeli untuk memastikan produk kayu berasal dari hutan yang diurus secara lestari.
“Ia juga menjadi kepentingan utama bagi persekitaran dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan sosial,” katanya.
Pada persidangan itu, Abang Johari mengucapkan tahniah kepada tiga Unit Pengurusan Hutan (FMU) Sarawak iaitu FMU Anap Muput atas kejayaannya mengekalkan pensijilannya dan dua lagi iaitu FMU Ravenscourt dan FMU Kapit.
Beliau turut menghargai pencapaian Unit Pengurusan Perladangan Hutan (FPMU) iaitu Segan, Lana, Masama, Penyuan dan Kejin Long Lama kerana berjaya memperoleh Pensijilanan Pengurusan Hutan (Ladang).
“Saya berharap FMU-FMU yang lain akan mengikut jejak langkah FMU yang telah berjaya ini,” katanya.
Mengenai kepentingan penggunaan teknologi untuk meningkatkan lagi pengurusan hutan secara lestari di negeri ini, beliau berkata satu portal perkhidmatan yang menyediakan maklumat terkini mengenai hutan perlu dibangunkan seperti di Finland.
Menurutnya portal perkhidmatan itu menyediakan maklumat terkini mengenai hutan, stok, jenis tanah dan mencadangkan kaedah pembalakan atau aktiviti-aktiviti pengurusan hutan yang lain bagi sesuatu kawasan serta menyediakan pendapatan berkaitan dan anggaran kos.
“Sebagaimana industri lain, sistem maklumat salah satu teknologi yang memberi impak besar dalam operasi mereka, begitu juga dengan pengurusan hutan.
“Pengurusan hutan lestari memerlukan maklumat yang tepat dan segera, dengan kemajuan teknologi, maklumat ini sudah ada dan dapat diperoleh di hujung jari,” katanya.
Selain itu beliau berkata teknologi dapat menawarkan pendekatan lebih pragmatik dalam pemuliharaan biodiversiti seperti menjejak serta memantau hidupan liar.
“Kita berusaha terus mengikut perkembangan teknologi terkini dalam bidang perancangan hutan, pemantauan dan penguatkuasaan.
“Dron misalnya, digunakan secara meluas dalam kerjakerja pemantauan dan peninjauan terutama di kawasa yang akses terhad,” jelasnya.
Beliau menambah, teknologi geospatial berkemampuan mengambil, menyimpan, menganalisis dan memaparkan maklumat dirujuk secara geografi dalam masa nyata.
“Memandangkan negara kita terlibat dalam banyak persidangan antarabangsa dan perjanjian alam sekitar, data mengenai hutan dan penggunaan lain tanah perlu direkodkan secara berkala.
“Semua ini dapat dilakukan dengan bantuan teknologi. Pada skala lebih besar Sarawak telah memulakan perkongsian maklumat menerusi ‘big data’ bagi membolehkan penyelarasan lebih baik antara agensiagensi Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Pada majlis itu juga Abang Johari melancarkan Sistem Pendapatan Hutan dan Pengesanan Balak Sarawak (REVLOG) 2.0, satu aplikasi mudah alih yang membolehkan pemantauan pada masa nyata ke atas hutan, kilang berlesen, penuaian, pergerakan pengesahan kayu balak, pendapatan dan bil serta eksport kayu.
REVLOG diperkenalkan pada 2013 dan digunakan untuk mengambil, merekod dan memantau perincian kayu balak ditebang operator-operator berlesen, jumlah kayu balak yang dikenakan royalti dan pergerakan kayu balak.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Hamden Mohamad dan Timbalan Pengarah Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) Jepun S. Satkuru.
Kerajaan Sarawak komited memastikan hutan dan sumber-sumber hutan kita diurus secara mapan malah hakikatnya dasar-dasar hutan yang baik telah dilaksana sejak 1954 bagi memastikan hutan di negeri ini tidak musnah akibat pembangunan dan pemodenan. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Ketua Menteri