Masalah minyak, gas dapat diselesai antara kerajaan
Penyelesaian antara kerajaan penting untuk membolehkan secara rasminya diiktiraf dan sah: Minos
Isu minyak dan gas sekarang ini hanya dapat diselesaikan antara kerajaan iaitu Kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan, untuk menjadikannya secara rasmi diiktiraf dan sah.
KUCHING: Masalah minyak dan gas yang berlaku ketika ini hanya dapat diselesaikan antara Kerajaan Sarawak dengan kerajaan persekutuan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos berkata penyelesaian antara kerajaan itu penting untuk membolehkan secara rasminya diiktiraf dan sah.
“Kalau Chong Chieng Jen, Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, mungkin rakyat Sarawak menerima kata-katanya kerana beliau mewakili kerajaan persekutuan tetapi beliau bercakap sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.
“Isu minyak dan gas sekarang ini hanya dapat diselesaikan antara kerajaan iaitu Kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan, untuk menjadikannya secara rasmi diiktiraf dan sah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Chong baru-baru ini mengenai ‘Tawaran Baru’ PH Sarawak bagi pembayaran royalti minyak dan gas kepada Sarawak.
Minos berkata adalah satu kesalahan untuk mana-mana pihak yang menuntut atau berpura- pura mendakwa mewakili kerajaan persekutuan sehingga atau melainkan seseorang itu dilantik secara rasmi oleh Perdana Menteri atau kabinet persekutuan.
Justeru, rakyat Sarawak boleh membuat penghakiman sendiri atas ikrar dan janjijanji Chong.
“Kata-kata Chong berputar belit dan sering berubah dalam beberapa bulan ini berhubung isu minyak dan gas yang sangat mengelirukan dan berbelit-belit, menyebabkan ramai pihak bingung serta marah.
“Kenapa tidak menjadikannya lebih jelas dan mudah. Sarawak amat memerlukan sumber kewangan untuk membolehkannya memban- gun serta maju seiring dengan Semenanjung Malaysia dalam pelbagai aspek dan bidang,” ujarnya.
Menurutnya Sarawak memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk membiayai projek-projek sosial, pendidikan, infrastruktur dan ekonomi di bandar serta luar bandar.
Dana daripada kerajaan persekutuan katanya sejak 1963 tidak mencukupi dan amat sukar untuk diperoleh.
Oleh itu katanya, rakyat Sarawak dan Kerajaan Sarawak amat mahu dan memerlukan lebih banyak dana hasil daripada sumber minyak dan gas miliknya sendiri.
“Inilah yang rakyat dan Kerajaan Sarawak mahu kerajaan persekutuan faham serta menghargainya seterusnya memberi pertimbangan sewajarnya.
“Jumlah (pendapatan) yang Sarawak dapat daripada kerajaan persekutuan dan Petronas sejak 1974 tidak banyak atau tidak mencukupi untuk mempercepatkan pemba- ngunan sosial dan ekonomi Sarawak,” katanya.
Disebabkan itulah, tegasnya Sarawak meminta bayaran yang lebih banyak daripada Petronas dan alasan itu sangat adil dan sah.
Beliau berkata sekiranya Petronas dan kerajaan persekutuan terlalu berkeras dengan permintaan Sarawak serta ‘tidak perduli’ dengan keperluan Sarawak untuk mendapatkan dana bagi tujuan pembangunan hasil minyak dan gasnya sendiri, sudah tentu rakyat negeri ini berasa diabai dan kecewa.
“Chong mesti mengiktiraf dan tahu aspirasi sebenar rakyat Sarawak, bukannya terus bermain retorik dan politik mengenai isu minyak dan gas,” tegasnya.
Datuk Peter Minos Pengerusi MPKS