India larang import vaksin rabies bermasalah dari China
NEW DELHI: India telah melarang import sejenis vaksin rabies dari sebuah syarikat pembuatan di China yang terbabit dalam satu skandal keselamatan, kata ketua badan pengawal ubat-ubatan India kepada sebuah akhbar dalam kenyataan yang diterbitkan semalam.
“Vaksin itu sedang digunakan di India tetapi kami tidak ada maklumat sebenar mengenai jumlah unit keseluruhan yang diimport atau di mana ia sudah diedarkan,” kata S. Eswara Reddy kepada akhbar harian Hindustan Times.
“Saya sudah meminta kakitangan saya untuk menyediakan laporan maklumat terperinci mengenai pengimportan dan pengedarannya,” beliau dipetik sebagai berkata dalam temu ramah itu.
“Selepas kami mendapat maklumat itu, kami akan memohon untuk menarik balik vaksin itu dari pasaran. Tetapi sehingga itu, larangan menyeluruh dikenakan ke atas importnya.”
Rabies membunuh kira- kira 20,000 orang di India setiap tahun, menurut Program Kawalan Rabies Kebangsaan yang dijalankan oleh kerajaan.
Skandal keselamatan produk terbaharu di China muncul lebih seminggu lalu dengan berita bahawa Changchun Changsheng Biotechnology telah memalsukan rekod dan diarah untuk menghentikan pengeluaran vaksin rabies.
Kerajaan China, yang turut mengumumkan pemeriksaan tapak pengeluaran vaksin di seluruh negara, berkata vaksin bermasalah itu tidak meninggalkan kilang Changsheng dan tidak dikeluarkan untuk dijual.
Vaksin Changsheng untuk penyakit radang kerongkong, pertussis dan tetanus (DPT) juga gagal memenuhi standard kualiti, walau bagaimanapun 250,000 dos dijual pada tahun lepas.
China kerap mengalami skandal yang membabitkan makanan, ubat atau produk lain yang tidak selamat walaupun janji rasmi dibuat berulang kali untuk membanteras gejala rasuah dan pembuatan tidak bermutu oleh kilang yang biasanya dipersalahkan. —