Manyin khuatir belia akan berdepan pengangguran jika gagal penuhi kriteria kelayakan dikehendaki syarikat dan industri
MIRI: Minat pelajar yang semakin kurang terhadap subjek Sains dan Matematik membimbangkan kerajaan Sarawak.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong khuatir generasi belia akan berdepan masalah pengangguran tinggi kerana gagal memenuhi kriteria kelayakan yang diperlukan syarikat dan industri.
“Kita melihat minat pelajar dalam Sains dan Matematik semakin berkurangan. Masalah ini menjadi kebimbangan besar untuk kita.
“Sekiranya tiada yang dilakukan pada masa depan untuk meningkatkan minat dan keyakinan terhadap keupayaan mempelajari Sains dan Matematik, pasti cahaya di hujung terowong akan malap untuk generasi baharu memasuki pasaran kerja,” jelasnya.
Berucap merasmikan STEM Playground 2018 di Pustaka Sarawak Miri semalam, Manyin berkata, kementerian telah mengenal pasti tugas-tugas untuk meningkatkan kemasukan pelajar dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) sebagai salah satu dari tiga fokus utama.
Dua fokus lain ialah meningkatkan keadaan fizikal dan kemudahan sekolah serta memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar.
Kementerian katanya, telah bekerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak ( JPNS), semua universiti tempatan dan institusi Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional ( TVET), agensi penyelidikan, syarikat Petronas dan Shell serta NGO berkaitan untuk membangunkan Inisiatif STEM Sarawak (SSI).
“Kita berterima kasih kepada semua penyumbang terutamanya UNIMAS kerana menyahut cabaran untuk menyediakan semua input dan membangun rangka kerja bersepadu untuk mengendali dan menyelia aktiviti kepada semua pihak stakeholders ke arah mencapai objektif,” jelasnya.
Tiga objektif yang ingin dicapai ialah meningkatkan minat dalam STEM, meningkatkan kemasukan STEM dan meningkatkan pencapaian STEM.
Manyin berkata, sementara menanti pembangunan dan perasmian SSI, kementerian telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menganjur dan melaksanakan beberapa ini- siatif dan program.
Antaranya, SCaT Fair 2018 bersama TEGAS, Sarawak Invention, pertandingan rekaan dan inovasi bersama UiTM.
Selain itu, kementerian bersama JPNS sedang melaksanakan projek perintis dengan membekalkan buku dan sumber pengajaran dan pembelajaran daripada National Geographic kepada pengajaran Sains di sekolah rendah, jelasnya.
“Sekiranya bermanfaat, lebih banyak sekolah akan dibekalkan dengan sumber pendidikan ini. Kita juga bekerjasama dengan JPNS melatih guru Sains dan Matematik mengajar di se- kolah rendah.
“Dengan cara ini kita mahu meningkatkan keberkesanan teknik pengajaran mereka dengan cara lebih menarik dan efektif,” tambahnya.
Dalam pada itu, STEM Playground yang berlangsung selama dua hari dianjurkan oleh kerajaan Sarawak dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS).
Ia mendapat kerjasama JPNS, Pustaka Miri, All Aboard Young Leader Center (AAYLC), IEEE Curtin Malaysia dan pelbagai agensi lain.
Ia dianjurkan pertama kali di sini sempena Pameran Latihan dan Kerjaya Sarawak bertujuan meningkatkan minat kanak-kanak dan pelajar terhadap STEM melibatkan aktiviti bengkel, pameran industri, pertandingan dan pelbagai aktiviti lain.
Hadir sama ADUN Telang Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka, Rashidah Bolhassan.