Majlis Ketua Masyarakat dan Kaum bagi daerah Mukah akan ditubuh
MUKAH: Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi daerah Mukah bakal ditubuhkan bagi memperkasa institusi serta keberkesanannya.
Menurut Ketua Masyarakat Mukah Temenggung Hendi Suhai, ia bakal memartabatkan institusi kepimpinan para ketua masyarakat dan ketua kaum khususnya di daerah Mukah.
“Jelas majlis ini ditubuhkan bertujuan sebagai wadah perkongsian pengalaman, pandangan serta idea dalam kalangan KMKK,” katanya pada mesyuarat pertama penubuhan majlis itu di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Mukah baru-baru ini.
Hendy yang mempengerusikan mesyuarat tersebut turut menyifatkannya sebagai saluran untuk mengupas permasalahan yang dihadapi ahli atau komuniti secara berhemah dan inklusif.
Perkara itu kata beliau, akan menjurus ke arah perpaduan, kerjasama dan keharmonian dalam menggapai kesejahteraan semua ahli komuniti.
“Turut tidak terlepas adalah fokus kepada kebajikan ahli KMKK dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Malah majlis itu juga sebagai perantaraan utama dan tuntas antara pejabat residen, pejabat daerah, jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan di daerah Mukah.
Hendi pada majlis berkenaan bertindak sebagai penasihat bersama Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili sementara Pengerusinya Pemanca Mohamad Jali Kawi.
Timbalan Pengerusi Satu ialah Kapitan Kang Boon Fong, manakala Timbalan Pengerusi Dua Penghulu Iju Tutong.
Setiausaha dijawat Penghulu Ahmad Mahmud Zakriah, Penolong Setiausaha pula Ketua Kaum Mohamad Asrar Nani dan jawatan bendahari disandang Besiri Keri.