Kenanga Research kekal saranan ‘berprestasi pasaran’ ke atas Westports
KUALA LUMPUR: Kenanga Research mengekalkan saranan ‘berprestasi pasaran’ ke atas Westports Holdings Bhd pada harga sasaran (TP) RM3.75 daripada RM3.50 sebelumnya, berdasarkan berita bahawa kenaikan tarif kontena ditangguhkan kepada Mac 2019 daripada tarikh perwartaan pada September tahun ini.
Dalam nota kajiannya, ia berkata penangguhan itu akan menjejaskan kontena masuk, memandangkan harga bagi kontena pemindahan kapal perlu kompetitif bagi menge- kalkan bahagian pasaran.
“Walaupun kelewatan itu akan memberi kesan ke atas pendapatan tahun kewangan ( FY) 2018, aspek positifnya ialah kesediaan kerajaan baharu dalam menimbang kenaikan tarif.
“Kami percaya penangguhan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengelak ia berjalan serentak dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sekali gus memberikan lebih masa kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan harga di sepanjang rantaian bekalan mereka,” katanya.
Firma penyelidikan itu tidak mengubah unjuran pendapatan bagi FY2018, namun menaikkan pendapatan pada FY2019 sebanyak tujuh peratus selepas mengambil kira kenaikan tarif.
Berdasarkan peningkatan unjuran pendapatan FY2019, ia juga mengandaikan bahawa pelabuhan pelbagai kargo itu akan mencatat pertumbuhan terminal satu peratus, dasar dividen yang tidak berubah dengan bayaran sebanyak 75 peratus serta kadar diskaun 6.2 peratus.
Risiko ke atas saranan Kenanga itu termasuk jumlah kontena yang lebih rendah berbanding unjuran, kelewatan pelaksanaan kenaikan tarif selain perubahan dalam dasar pembayaran dividen.
Pada jam 10.56 pagi saham Westports susut 20 sen atau hampir lima peratus kepada RM3.60 berbanding RM3.80 pada penutupan Jumaat, dengan 293,100 saham didagangkan. — Bernama