Cabaran mengurus sesebuah universiti kini semakin kompleks: Kadim
KUCHING: Cabaran mengurus sesebuah universiti kini semakin kompleks dengan pelbagai kekangan dihadapi terutama daripada aspek pengurusan kewangan dalam keadaan ekonomi kian tidak menentu.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata perubahan tampuk kepimpinan baru-baru ini juga merancakkan lagi cabaran kepada pengurusan universiti dan para pentadbir untuk berdepan dengan transformasi peranan serta tanggungjawab sealiran keperluan kerajaaan sekarang.
Bagaimanapun ujarnya, di sebalik ranjau ditempuhi, beberapa perkara menakjubkan berlaku, keberadaan Universiti Malaya (UM) dalam Top 100 QS World University Ranking dan lima universiti awam negara (UM, UPM, UKM, USM dan UTM) dalam Top 50 Asia untuk Asia University Ranking 2018.
Pencapaian itu katanya, mencerminkan komitmen, kerja keras serta dedikasi setiap peringkat pengurusan di universiti, daripada kerani, pembantu makmal, pegawai tadbir, penyelidik, pensyarah hingga pengurusan utama universiti.
Menurutnya, kumpulan pentadbir universiti awam terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti pegawai tadbir, pegawai penyelidikan, pegawai kewangan, pegawai teknologi maklumat dan sebagainya yang merangkumi hampir 8,000 orang bernaung di bawah Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI).
“Dalam aspek hal ehwal pelajar dan alumni lazimnya pentadbir akan diamanah mengetuai bahagian atau pusat hal ehwal pelajar dan alumni sesebuah universiti.
“Peranan pentadbir dalam aspek penyelidikan dan inovasi di universiti awam amat penting pada era Revolusi Industri 4.0.
“Mereka mesti sering menjadi tulang belakang membantu barisan pakar dan penyelidik universiti menghasilkan pelbagai penemuan dan inovasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam 2018 di sebuah hotel di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Sulung Matjeraie.
Kadim menambah, dalam aspek akademik dan antarabangsa pula, golongan pentadbir memainkan peranan penting sebafai fasilitator dan pemudah cara dalam memastikan pegawai akademik dapat fokus kepada sesi pengajaran dan pembelajaran dalam suasana kondusif serta harmoni.