Jenama semula NUCC sebagai Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada beberapa usaha untuk meningkatkan keharmonian kaum termasuk menjenamakan semula Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (NUCC) sebagai Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berkata bagi tujuan itu, anggota majlis yang akan dilantik untuk tempoh dua tahun dari 2018 hingga 2020 akan memberi fokus kepada usaha menyemarakkan dan meneguhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Ketiadaan undang- undang spesifik berhubung perkauman dan diskriminasi kaum ketika ini tidak bermakna usaha memupuk perpaduan diabaikan, sebaliknya usaha menyatu padu kaum akan terus dipergiat,” katanya menjawab soalan Senator Chandra Mohan S. Thambirajah mengenai usaha kerajaan dalam memelihara perpaduan dan keharmonian kaum pada Persidangan Dewan Negara, semalam.
Selain itu, Waytha Moorthy berkata kerajaan turut akan merangka Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) melalui kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi dengan perunding individu dari Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia yang mana pelan itu dijadikan kayu ukur kepada keberkesanan program serta aktiviti perpaduan nasional oleh jabatan dan agensi kerajaan.
Kepada soalan Senator Datuk Zahari Sarip sama ada kerajaan bercadang mewujudkan mata pelajaran baharu di sekolah rendah untuk mewujudkan perpaduan masyarakat, Waytha Moorthy berkata cadangan itu sedang dikaji dan menunggu keputusan kabinet sebelum ia dapat dilaksanakan. — Bernama