Singapura mahu bekerjasama dengan kerajaan baharu Malaysia, tingkatkan hubungan dua hala
SINGAPURA: Singapura berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran baharu Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
“Saya berharap bersama ( Perdana Menteri Tun) Dr Mahathir ( Mohamad) dan pasukan baharunya, kami dapat membangunkan perkongsian yang teguh, melihat ke hadapan dan maju bersama,” kata Lee dalam ucapan Bahasa Inggerisnya pada Sambutan Hari Kebangsaan ( NDR) 2018 kelmarin.
Untuk NDR, Lee menyampaikan ucapannya dalam tiga bahasa, bermula dengan Bahasa Melayu, diikuti Mandarin dan Inggeris.
Lee bekata asas utama hubungan dengan Malaysia tidak berubah.
“Kita mempunyai hubungan persaudaraan, sejarah, geografi dan ekonomi yang rapat. Kita perlu bekerjasama untuk menangani cabaran yang sama, dan apabila kepentingan kita berbeza, kita mesti mencari cara yang konstruktif untuk menyelesaikan perbezaan itu.
“Jika hubungan SingapuraMalaysia terus rapat dan stabil...kita boleh meneruskan kerjasama sama-sama menang, dan kita juga boleh memberi tumpuan kepada keutamaan dalam negara masing- masing- masing... dan kita ada banyak...begitu juga dengan rakyat Malaysia,” katanya.
Lee berkata pentadbiran baharu Malaysia mempunyai gabungan bakat muda dan pemimpin berpengalaman.
“Sudah tentu Dr Mahathir bukan baru kepada kami. Kami telah bekerjasama dengannya sebelum ini. Kali terakhir semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sehingga 2003,” katanya.
Lee berkata Singapura mengatur beberapa projek penting dengan Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir, termasuk Laluan Kedua dan empangan Lingui di Johor.
Dr Mahathir kini menerajui kerajaan baharu Malaysia selepas Pakatan Harapan, yang diketuainya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas.
Lee mengakui Dr Mahathir dan pasukannya mahu mengkaji dan mengubah banyak dasar yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Saya menghargai sebabnya, namun beberapa kajian semula itu menjejaskan projek semasa Singapura dengan Malaysia, termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan rangkaian RTS (Rail Transit System) ke Johor.
“Kami menyertai keduadua projek itu dengan niat baik selepas menjalankan rundingan yang teliti memandangkan projek terbabit memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Kini, Malaysia mahu menangguhkan HSR,” katanya.
Lee berkata HSR dan RTS membabitkan perjanjian yang mengikat secara sah.
“Ia (perjanjian) jelas menunjukkan kewajipan setiap pihak, dan apa yang akan berlaku jika ada pihak yang mahu menukar atau menamatkan perjanjian. Kedua-dua pihak perlu melaksanakan apa yang telah dipersetujui kecuali kita sama-sama bersetuju mengubah syaratnya,” kata Lee.
Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertemu di Singapura secara rasmi pada 11 Ogos bagi membincangkan projek HSR, dan bersetuju untuk meneruskan perbincangan pada minggu-minggu akan datang.
Mengenai Perjanjian Air 1962 yang ditandatangani dengan Malaysia, Lee ringkas menyatakan bahawa: “Perjanjian air itu sangat penting. Kami mesti mengikuti sepenuhnya syarat- syarat yang ditetapkan.”
Singapura sebelum ini menyatakan bahawa ia akan menghormati sepenuhnya terma Perjanjian Air 1962 dengan Malaysia, termasuk harga air yang ditetapkan. — Bernama KUALA LUMPUR: Datuk Shahril Ridza Ridzuan semalam memulakan tugasnya sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd.
Beliau yang tiba di pejabat Khazanah Nasional di Kuala Lumpur City Centre pada 8.50 pagi, disambut oleh para pegawai cabang dana pelaburan kerajaan itu.
Shahril yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Azman Mokhtar.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini ialah pengerusi baharu dana kekayaan negara itu, menggantikan, Datuk Seri Najib Razak yang meletak jawatan pada 31 Mei.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Dr Sukhdave Singh, dan Goh Ching Yin turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah.
Ini berikutan peletakan jawatan beramai-ramai oleh sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah termasuk Azman pada 26 Julai, bagi memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baharu. — Bernama