The Haven Bintan di Lagoi Bay tawar pulangan pajakan 6% setahun
SINGAPURA: Berdasarkan prospek masa depannya yang menarik, The Haven Bintan di Lagoi Bay, Bintan, mampu menawarkan pulangan pajakan enam peratus setahun, yang membuktikan kedudukannya yang sangat menarik kepada pembeli.
Ketua Pegawai Eksekutif The Haven Group, Peter Chan, memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa Bintan dapat diakses dengan baik, dan akan menjadi lebih dekat dalam tempoh dua tahun apabila lapangan terbang antarabangsa yang baharu, siap.
Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Bintan Resorts yang dibina khusus akan memudahkan lebih sejuta pengunjung ke pulau di Indonesia itu, menerusi feri dari Singapura atau Johor Bahru, setiap tahun.
Turut dijadual siap ialah jambatan sepanjang enam kilometer antara Batam dan Bintan. Ini akan memudahkan perjalanan antara Telaga Punggur (Batam) dan Tanjung Uban (Bintan) kepada kira-kira 10 minit.
The Haven Group barubaru ini melantik Yunnan Construction Investment Holding Group Co Ltd (YCIH) China dan PT Total Bangun Persada Tbk (TOTAL) sebagai kontraktor utama untuk projek resort S$1.4 bilion (RM4.1 bilion) itu.
Kontrak bernilai S$288 juta (RM852 juta) itu adalah untuk membina enam menara suite condotel, sebuah hotel bertaraf lima bintang dan pusat konvensyen 3,000 tempat duduk.
Resort ini akan dibina dalam empat hingga enam fasa di tanah utama unitnya, PT The Haven di Lagoi Bay.
Fasa pertama, yang terdiri daripada dua menara dan sebuah rumah kelab dengan kemudahan, dijadual siap pada 2021, manakala fasa selebihnya dijangka siap pada 2026.
Selain itu, pusat beli-belah dan kawasan komersial akan dibangunkan di kawasan pembangunan berkenaan.
Menurut Chan, Bintan ialah destinasi yang semakin berkembang dan dijangka terus berkembang pesat.
Dengan siapnya lapangan terbang, beliau berkata ketibaan pelancong dijangka meningkat sebanyak 30 peratus setahun dan mencapai 3.5 juta setahun dalam tempoh empat tahun akan datang.
“Ketibaan pelancong dijangka terus meningkat pada tahun-tahun berikutnya.
“Bintan memang pun sudah menjadi destinasi popular untuk aktiviti sukan dan rekreasi seperti The Bintan Triathlon, The Bintan Marathon, The Bintan Ironman Race, The Bintan Moon Run, Tour de Bintan dan sebagainya,” katanya.
Terletak di kawasan yang paling eksklusif di Bintan, The Haven Bintan di Lagoi Bay, dijangka menjadi salah satu resort paling unik di rantau ini.
Ia juga merupakan satusatunya pembangunan dengan bangunan tinggi di pulau itu, yang direka sebagai pusat peranginan bersepadu dengan mengutamakan kekeluargaan, meliputi suite kondominium serta hotel yang menawarkan kemudahan bertaraf dunia, termasuk taman tema air.
Banyak pakar pasaran memperakui bahawa tapak resort itu jarang ditemui kerana menggbungkan persekitaran laut, sungai dan tasik.
Tapak yang begitu dekat dengan Singapura itu, metropolis utama merupakan kelebihan yang besar kepada penduduknya.
Mengenai pembeli yang berpotensi, Chan berkata penduduk dari seluruh dunia boleh membelinya memandangkan undang-undang Indonesia membenarkan pemilikan langsung hartanah oleh warga asing, dan pemilikan hak milik strata sejak 2016.
Di samping itu, Bintan ialah destinasi tanpa visa untuk pelawat dari 169 negara, termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, India, ASEAN dan negara Timur Tengah.
Bakal pembeli yang inginkan maklumat lanjut mengenai The Haven Bintan di Lagoi Bay, boleh melayari www. thehavenlagoibay.com.
The Haven Group memulakan perniagaan di Ipoh, Malaysia, menerusi pembangunan The Haven Lakeside Residences, pembangunan hartanah terkemuka di bawah jenama The Haven.
Setakat ini, The Haven Group memenangi 48 anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk anugerah dwitahunan, Anugerah Menteri Pelancongan pada 2018. — Bernama KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menjadi penerima terbesar manfaat daripada langkah pengembangan syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura ke ASEAN berikutan pasaran pengguna yang semakin meningkat serta kemudahan menjalankan perniagaan, demikian menurut satu laporan HSBC.
Dalam satu kenyataan semalam, HSBC berkata laporan berasaskan dapatan kajian terhadap 1,036 syarikat berpangkalan di Singapura itu menunjukkan 36 peratus responden meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka untuk mengembangkan operasi ke luar negara bagi tempoh dua tahun akan datang.
Antara alasan mereka termasuk 80 peratus responden menyatakan permintaan pelanggan yang berpotensi, 75 peratus menggariskan kemudahan membina perhubungan manakala 73 peratus lagi menyifatkan keseluruhan iklim pelaburan Malaysia sebagai faktor yang mempengaruhi keputusan mereka.
Responden juga melihat sektor pembuatan Malaysia mengamalkan aspek automasi dan inovasi yang maju selain faktor kos sara hidup yang lebih rendah berbanding Singapura.
Pada masa ini adalah dianggarkan 37,400 syarikat antarabangsa beroperasi di Singapura termasuk 7,000 syarikat multinasional. — Bernama