Bajet tambahan tidak perlu sebab defisit fiskal negara terkawal
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak memerlukan bajet tambahan buat masa ini memandangkan defisit fiskal negara berada dalam keadaan terkawal, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.
Beliau berkata, apabila defisit fiskal diurus dengan baik dan mampan, maka ia akan memberi impak kepada pengukuhan ekonomi negara serta negara tidak akan berhutang lagi.
“Maka, kita tidak perlu bajet tambahan kerana kerajaan sedang mengawal defisit fiskal dari segi perbelanjaan dan pendapatan. Jika ada perubahan pun, mengawal defisit fiskal menjadi keutamaan kita dalam perkembangan ekonomi negara,” katanya selepas menyampaikan skim kewangan MyCreative Ventures berjumlah RM34 juta kepada 19 syarikat kreatif di sini, semalam.
Pada 12 Ogos lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kerajaan mempertimbang untuk membentangkan belanjawan tambahan.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat kepada RM40.1 bilion berbanding RM39.8 bilion, sekali gus mengekalkan defisit bajet sebanyak 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2018.
Terdahulu, Amiruddin dalam ucapan perasmiannya menyeru syarikat yang terlibat dalam industri kreatif untuk merangka pelan pengkomersialan produk dengan menggabungkan seni kreatif dan sektor pelancongan.
“Usaha ini berpotensi menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara memandangkan pelancongan yang berasaskan seni dan budaya akan mendatangkan hasil lumayan seperti Perancis yang berjaya memperoleh RM934 bilion setahun melalui sektor pelancongan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative, Riza Saian berkata, perjuangan MyCreative belum selesai dengan sumbangan industri kreatif kepada KDNK negara kini hanya pada dua peratus berbanding negara lain seperti Indonesia, Singapura dan Korea adalah lebih lima peratus.
“Banyak perniagaan kreatif di Malaysia berada di tahap awal dan memerlukan lebih masa untuk membolehkan mereka menjana keuntungan yang besar. Malaysia memang kaya dengan bakat seni yang berkebolehan tinggi tetapi kemahiran perniagaan secara keseluruhannya perlu ditingkatkan,” katanya.
Menurut Riza, sebanyak RM200 juta telah dilaburkan di dalam 138 buah syarikat kreatif di bawah 10 teras kreatif iaitu seni visual, seni tradisional, muzik, fesyen, seni reka bentuk, akademik kreatif, seni kulinari, kandungan kreatif, kesusasteraan dan seni persembahan.
Pinjaman kewangan itu sejajar dengan objektif penubuhan Mycreative yang menyokong pelaksanaan dasar industri kreatif negara dan merangsang pertumbuhan industri kreatif menerusi skim kewangan strategik dan inovatif dalam bentuk ekuiti, pinjaman atau gabungan, katanya. — Bernama