Gabungan ‘MCN’ tunjang kekuatan PSG
PARIS, Perancis: Kylian Mbappe sekali lagi memberikan sumbangan besar ketika tiga bintang jentera serangan Paris Saint Germain (PSG) bergandingan untuk kemenangan 3-1 ke atas Angers dalam aksi Ligue 1 Perancis Sabtu lepas.
Pada permulaan pertama kesebelasan utama sejak membantu Perancis memenangi Piala Dunia 2018 di Rusia, Mbappe menjaringkan gol kedua PSG selepas rehat perlawanan di Parc des Princes dan kemudian mengumpan bola kepada Neymar untuk gol ketiga.
Sebelum itu, Edinson Cavani meraikan penampilan pertama beliau musim ini dengan gol pembukaan tetapi penalti Thomas Mangani memastikan Angers mengikat kedudukan pada pertengahan separuh masa pertama.
Ia adalah kemenangan ketiga dari beberapa perlawanan untuk PSG memulakan kempen mempertahankan kejuaraan liga, dan melihat semua tiga penyerang yang dikenali ‘MCN’ menjaringkan gol pastinya memberikan kegembiraan buat jurulatih Thomas Tuchel.
“Ia kemenangan selayaknya tetapi sekali lagi ia perlawanan sukar,” kata Tuchel. “Kami masih belum cergas sepenuhnya ketika ini kerana kami sudah berlatih gigih sepanjang minggu.”
Ia kali pertama dalam tempoh enam bulan di mana Mbappe, Cavani dan Neymar bermain bersama, dengan Neymar tidak beraksi pada akhir musim lepas kerana kecederaan.
Tuchel juga menurunkan Angel Di Maria dalam kesebelasan utama, dengan keempat-empat pemain ini bernilai lebih dari 400 juta euro dalam yuran perpindahan untuk lima tahun terakhir.
“Bagi saya, ia adalah saat yang sangat penting untuk mempunyai Neymar dalam padang bersama-sama tiga penyerang lain seperti Angel, Kykian dan Edi,” kata Tuchel. “Saya mahu mencari satu posisi untuk semua pemain ini.”
Untuk menampung kehadiran jentera serangan berbakat, Tuchel menggunakan formasi luar biasa 34-2-1 dan petanda awal sudah memberangsangkan dengan Cavani menyempurnakan hantaran Neymar untuk membuka jaringan seawal minit ke-12.
Angers bagaimanapun mengikat kedudukan apabila Kehrer menjatuhkan Flavien Tait dalam kotak penalti, dengan Mangani menyempurnakan tendangan penalti untuk mengikat kedudukan.
Tidak gembira dengan prestasi pasukan, Tuchel mengeluarkan Kehrer pada masa rehat dengan memasukkan seorang lagi pemain muda, Stanley N’Soki dan menukar posisi dengan empat pemain pertahanan.
Perubahan formasi itu membuahkan hasil segera apabila Mbappe meletakkan PSG kembali di hadapan enam minit selepas rehat dari umpanan Di Maria sebelum Mbappe mengumpan gol ketiga kepada Neymar pada minit ke-65.
Pada perlawanan lain, Dijon adalah satu-satu pasukan lain yang mengutip tiga kemenangan dari tiga perlawanan selepas menewaskan Nice 4-0 di gelanggang lawan.
Jules Keita menjaringkan dua gol selepas Nayer Aguerd dan Oussama Haddadi meletakkan Nice selesa di hadapan untuk satu lagi malam mengecewakan buat jurulatih Patrick Vieira.
Selepas permulaan cemerlang, dua pendatang baharu Ligue 1, Nimes dan Reims masing-masing tewas kepada Toulouse (0-1) dan Amiens (1-4). — AFP