Pendakwaan tarik balik pertuduhan, Surendran dan aktivis bebas tuduhan
KUALA LUMPUR: Peguam N. Surendran dan aktivis Lawrence Jayaraj Edwin John semalam dilepas dan dibebaskan oleh dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas pertuduhan menghasut berkaitan kes liwat kedua Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid membebaskan Surendran, 52, yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Serai selepas Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menarik balik pertuduhan ke atas Surendran.
“Dengan ini, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan berkenaan,” kata hakim itu ketika pengurusan kes tersebut semalam.
Mengikut pertuduhan, Surendran, yang diwakili peguam Latheefa Koya didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan berkaitan kes liwat kedua Anwar menerusi YouTube di Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya antara 2 petang dan 4 petang pada 8 Ogos 2014.
Sementara itu, Hakim Rohatul Akmar Abdullah melepas dan membebaskan Jayaraj daripada pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes sama (liwat kedua Anwar) selepas Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalludin memaklumkan pihaknya menarik balik pertuduhan tersebut.
Terdahulu, Surendran, yang mewakili Jayaraj memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan jika pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan dengan kes itu, yang ditetapkan untuk sebutan hari ini.
“Pihak pendakwaan sebelum ini telah menarik balik kes hasutan membabitkan beberapa individu termasuk saya sendiri. Kes hasutan membabitkan peguam Eric Paulsen dan kartunis Zunar turut ditarik balik, masing-masing pada 15 Ogos dan 30 Julai lepas,” katanya. — Bernama