Polis tumpaskan rangkaian dadah dalam talian terbesar Thailand
BANGKOK: Thailand melumpuhkan satu rangkaian pengedaran dadah tempatan dikenali sebagai ‘Mun Took Med’ atau ‘Fun Every Pil’ yang menjalankan perniagaannya seperti ‘ skim piramid’ dan menggunakan media sosial untuk menjual dadah kepada ribuan anggotanya serta orang lain di negara itu.
Pihak berkuasa berjaya membongkar rangkaian tersebut, disifatkan sindiket menjual dadah menerusi media sosial yang terbesar di negara itu, selepas menangkap sepasang suami isteri dalam serbuan di sebuah kilang di Samut Sakorn, dekat Bangkok pada Isnin.
“Pasangan itu dipercayai berperanan sebagai pengubah wang haram bagi rangkaian tersebut. Pengawai Pejabat Antipengubahan Wang Haram (AMLO) menemui sejumlah besar wang dalam beberapa akaun bank, dipercayai hasil aktiviti penjualan dadah,” kata Ketua Bahagian Risikan, Biro Anti Narkotik ( NSB) Mej Jen Chayapoj Hasunha di sini.
Ketua rangkaian itu kini dalam pelarian dan dipercayai sedang bersembunyi di negara jiran, katanya, menambah serbuan semalam juga menyaksikan pihak berkuasa merampas beberapa kenderaan mewah daripada pasangan tersebut.
Menurutnya, rangkaian dadah tersebut mengendalikan hampir 10,000 akaun media sosial di seluruh negara dengan setiap akaun mempunyai beratus anggota serta pelanggan dan beroperasi di kesemua 28 wilayah di Thailand.
“Sekiranya anggota berjaya menarik lima orang, mereka akan diberikan diskaun bagi dadah yang dibeli atau diberi dadah percuma,” kata Chayapoj yang menambah usaha untuk menumpaskan rangkaian itu dan mengesan mereka yang terbabit akan diteruskan.
Sementara itu Ketua NSB Lt Jen Sommai Kongvisaisuk berkata sindiket pengedaran dadah di Thailand mula beralih kepada media sosial untuk menjual dadah sejak dua tahun lalu dan cara itu semakin popular sekarang.
Katanya penggunaan media sosial sebagai medium menjual dadah mula berleluasa tahun lepas, mendorong NSB mengeluarkan amaran mengenai kegiatan itu.
Beliau berkata rangkaian dadah Mun Took Med memanfaatkan populariti media sosial di Thailand seperti Fa- cebook, WhatsApp, Line dan lain-lain untuk memperluas aktiviti mereka secara agresif meliputi semua wilayah di negara itu.
“Mereka beroperasi dengan cara yang sangat sistematik, mirip kepada sebuah syarikat jualan langsung dengan setiap wakil ditempatkan di setiap wilayah untuk menguruskan perniagaan,” katanya.
Sommai juga berkata operasi yang dijalankan NSB sejak Julai lalu hingga kini menyaksikan penahanan 243 individu dan rampasan 52 buah kereta, 22 buah rumah, 15 geran hartanah, barang kemas, wang tunai, 16 pucuk senjata api, beratusratus amunisi dan sebutir bom tangan.
NSB juga merampas pelbagai jenis dadah termasuk 467 kilogram ( kg) syabu (crystal methamphetamine), 16.2 juta pil ‘yaba’ (pil kuda), 499 kg marijuana, 1.2 tan ketum dan 800 gram heroin bernilai lebih 2 bilion baht (RM250 juta). — Bernama