Jumlah kes HFMD setakat 25 Ogos lebih tinggi berbanding 2017
KUALA LUMPUR: Penyakit tangan, kaki dan mulut ( HFMD) mencatatkan sebanyak 55,391 kes di seluruh negara sejak 1 Jan hingga 25 Ogos lepas berbanding jumlah keseluruhan 24,398 kes pada 2017.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam berkata jumlah kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 30,993 kes atau 127 peratus, iaitu kesemua negeri menunjukkan pertambahan kes.
“Tiada kes kematian HFMD baharu. Kematian disebabkan HFMD dan jangkitan Enterovirus 71 (EV71) kekal dua kes, iaitu masing-masing satu di Sarawak dan satu di Pulau Pinang.
“Bagi jumlah kes mingguan untuk tempoh 19 hingga 25 Ogos lepas, sebanyak 2,235 kes dilaporkan dengan pengurangan 1,591 kes ( 41.6 peratus) berbanding minggu sebelumnya (12 Ogos hingga 18 Ogos) iaitu 3,826. Kesemua negeri menunjukkan penuru- nan kes antara 13.3 dan 65.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata berikutan cuti sekolah dan Aidiladha telah berakhir, ibu bapa yang sudah mula bekerja dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah hendaklah memastikan semua anggota keluarga khususnya kanakkanak kecil sentiasa dalam keadaan sihat serta mengamalkan kebersihan diri yang betul.
“Sekiranya ibu bapa mendapati anak tidak sihat dan mempunyai gejala HFMD, segera bawa ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan. Elakkan menghantar anak yang tidak sihat ke sekolah atau membawa ke tempattempat awam yang sesak,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan turut menggesa pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska, tadika dan prasekolah agar terus mengamalkan langkah kawalan serta pencegahan jangkitan HFMD. — Bernama