Area bangunkan hab logistik dan pembuatan premium Selangor bernilai RM4 bilion
KUALA LUMPUR: Firma ekuiti persendirian hartanah, Area Management Sdn Bhd, membangunkan hab logistik dan pembuatan premium pertama Selangor dengan nilai pembangunan kasar RM4 bilion.
Pengerusi, Datuk Stewart LaBrooy berkata, hab berpagar dan berpengawal, yang dinamakan The Compass@ Kota Seri Langat itu akan dibangunkan dalam tempoh tujuh tahun di kawasan seluas kira-kira 86 hektar di Kota Seri Langat.
Hab itu akan menawarkan kemudahan gudang dan pembuatan, yang dibangunkan sesuai dengan keperluan, berukuran 18,580 hingga 92,903 meter persegi.
“Area akan memanfaatkan permintaan terhadap jenis gudang baharu yang wujud daripada inovasi susulan kehadiran Revolusi Industri Keempat,” katanya semasa sidang media bagi mengumumkan pembelian tanah untuk projek itu dengan kos RM320 juta di sini, semalam.
Perjanjian penjualan dan pembelian tanah itu telah ditandatangani baru-baru ini antara syarikat tujuan khas Area, AIDF Industrial Park Sdn Bhd dengan Seriemas Development Sdn Bhd, anak syarikat pemaju induk, PNB Development Sdn Bhd.
LaBrooy berkata, kilang perusahaan kecil dan sederhana berasingan iaitu bersaiz 1,114 hingga 6,967 meter persegi juga akan dibangunkan untuk dijual bagi memenuhi permintaan kemudahan bersaiz sederhana di Lembah Klang.
Beliau berkata, berdasarkan aliran dan permintaan baharu dalam sektor perindustrian dan logistik di seluruh dunia, terdapat keperluan untuk mencipta semula tawaran hartanah industri di negara ini.
“Gudang lebih besar dengan konfugurasi yang amat berbeza serta mesra hijau dan automatik adalah era baharu perniagaan,” katanya.
LaBrooy berkata, Malaysia ketinggalan dalam pembangunan logistik dunia namun menawarkan peluang luas dengan dipacu pertumbuhan e-dagang yang mengagumkan, peningkatan permintaan rantaian logistik sejuk, dan peserta industri runcit mahu melaksanakan strategi perniagaan di outlet runcit fizikal dan secara dalam talian, selain firma multinasional mahu mendapatkan gudang gred A bagi operasi mereka.
“Ia sangat jelas bahawa akan wujud kekurangan ketara bagi gudang logistik moden baharu,” katanya. — Bernama