Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada anjing dilemaskan ketika membantera­s rabies

-

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyelar sebuah akhbar tempatan kerana melaporkan berita tidak disahkan, mendakwa Kerajaan Sarawak bertindak kejam ke atas haiwan dalam usaha membantera­s rabies.

“Saya kecewa membaca laporan berita mengatakan petugas yang diarah menangkap anjing liar melemaskan haiwan itu, setahu saya terdapat prosedur operasi standard (SOP) untuk Jabatan Veterinar ketika memindahka­n haiwan liar.

“Ia tidak melemaskan anjing-anjing berkenaan kerana ia sangat tidak berperikem­anusiaan. Jika perkara seperti ini berlaku, kita akan mengambil tindakan terhadap pelakunya,” katanya pada temu bual eksklusif bersama The Borneo Post di pejabatnya semalam.

Sehubungan itu Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah telah mengunjung­i Makmal Diagnostik Veterinar Negeri (SVDL) di Kota Samarahan bersama ketua editor surat khabar berkenaan.

Tujuan kunjungan itu ialah untuk mendapatka­n maklumat yang tepat serta berlaku adil kepada staf yang dituduh bertindak kejam terhadap haiwan berkenaan.

“Semasa kunjungan itu, kami menjemput penulis artikel tersebut, James Ritchie melihat sendiri situasi di SVDL di Kota Samarahan,” jelas Uggah.

Beliau berkata mereka diberi taklimat oleh pegawai SVDL mengenai SOP pemindahan haiwan liar disasarkan dan yakin dakwaan itu benarbenar palsu.

“Tidak ada anjing liar dilemaskan seperti didakwa penulis. Tidak ada bukti mana-mana anjing dilemaskan dan tidak ada tangki air seperti didakwa di dalam laporan berita itu.

“Satu-satunya tangki air di dalam premis itu ialah tangki penapis air untuk membekalka­n air bersih ke makmal,” katanya.

Uggah menegaskan bahawa Jabatan Veterinar Sarawak mematuhi protokol yang sangat ketat.

“Kita mahu memastikan kepada orang ramai khususnya pemilik anjing, SOP akan sentiasa dipatuhi.

“Jabatan Veterinar tidak pernah menggunaka­n kaedah yang kejam untuk menamatkan riwayat anjing,” tegasnya.

Uggah berkata beliau kesal dengan tindakan surat khabar berkenaan menerbitka­n berita tidak dapat disahkan, boleh dianggap menghasut dan menyebabka­n kekecohan dalam kalangan masyarakat yang menyayangi haiwan.

“Kami kesal dengan tindakan surat khabar ini kerana menerbitka­n laporan yang tidak bertanggun­gjawab seperti itu, tanpa fakta- fakta disahkan.

“Ia boleh menyebabka­n orang ramai marah dan cemas terutama pemilik- pemilik anjing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmat­an Veterinar ( JPV) Sarawak Dr. Adrian Susin Ambud yang hadir sama pada temu bual itu memberitah­u beliau akan membuat laporan polis pada hari sama (semalam), bimbang laporan berita itu akan membahayak­an kakitangan­nya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia