Utusan Borneo (Sarawak)

Hasanah direman berkaitan salah guna kuasa, penyelewen­gan dana

-

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman terhadap Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan SPRM tidak membenarka­nnya berjumpa dan berunding dengan peguamnya semasa direman berkaitan siasatan salah guna kuasa dan penyelewen­gan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hasanah, selaku pemohon memfailkan saman pemula itu menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudin­ali & Co pada 30 Ogos lepas dengan menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia selaku responden.

Peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Hasanah, ketika ditemui pemberita berkata, semalam ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi, yang kemudianny­a menetapkan 24 Sept untuk pendengara­n saman pemula itu.

Dalam saman itu, Hasanah menuntut perintah perisytiha­ran bahawa surat pemberitah­uan dikeluarka­n SPRM di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah untuk menyekat hak pemohon daripada berunding dengan peguamnya sepanjang tempoh beliau direman adalah bertentang­an dengan Fasal 5( 3) dan Fasal 8 Perlembaga­an Persekutua­n.

Oleh itu, pemohon mendakwa Seksyen 28A itu tidak sah, batal dan tiada kesan serta tidak boleh dikuatkua- sakan terhadapny­a.

Menerusi afidavit sokongan yang disertakan bersama saman itu, seorang lagi peguam Hasanah, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata firma guaman mereka mengetahui bahawa Hasanah telah ditangkap oleh SPRM pada 28 Ogos dan anggota keluargany­a mengarahka­n pihaknya untuk hadir keesokan hari (29 Ogos) dalam prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Peguam itu mendakwa, cara untuk pihaknya mengetahui alasan penangkapa­n Hasanah dan Seksyen mana beliau akan disiasat adalah dengan menemuinya sendiri di lokap mahkamah sebelum kes reman dipanggil oleh Majistret.

Namun, Mohd Khairul mendakwa satu surat pemberitah­uan di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah diserahkan kepada pihaknya ketika prosiding reman berkenaan untuk menyekat atau menghalang wanita itu daripada bertemu dengan peguam bela.

Dakwanya, menurut Fasal 5( 3) Perlembaga­an Persekutua­n, seseorang yang ditangkap hendaklah diberikan hak kebebasan asasi iaitu hak untuk berunding dengan peguam dan hak untuk dibela oleh peguam.

Hasanah telah direman selama enam hari ini bermula 29 Ogos bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewen­gan dana PRU14 dan dibebaskan kelmarin dengan jaminan SPRM. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia