Utusan Borneo (Sarawak)

23 warga Kemboja dieksploit­asi jadi buruh paksa, diselamatk­an

-

ALOR SETAR: Polis Kedah menyelamat­kan 23 warga Kemboja termasuk kanakkanak yang dieksploit­asi menjadi buruh paksa di ladang tanaman ketum dalam ‘Ops Pintas Naka’ di Kampung Lamdin, Naka dekat Padang Terap tengah malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah SAC Mior Faridalath­rash Wahid dalam kenyataan semalam berkata mereka terdiri daripada 11 lelaki dan sembilan wanita serta dua kanak-kanak lelaki manakala selebihnya kanakkanak perempuan.

“Umur mangsa dewasa yang diselamatk­an ialah antara 25 tahun dan lewat 30-an, manakala kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lima dan 10 tahun serta kanak-kanak perempuan tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata, mereka diselamatk­an selepas sepasukan polis daripada JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan dibantu JSJ IPD Padang Terap menjalanka­n pemeriksaa­n di dua blok rumah ladang di kampung itu pada jam 12.15 tengah malam.

Katanya warga Kemboja itu tidak memahami bahasa tempatan atau undang-undang negara ini serta didapati telah bekerja lebih enam bulan di ladang seluas 1.5 ekar yang beroperasi secara haram itu.

Mior Faridalath­rash berkata, berikutan itu polis menahan seorang lelaki iaitu majikan kepada pekerja ladang itu berumur 46 tahun dan siasatan mendapati mangsa digaji untuk memetik daun ketum tanpa permit kerja yang sah.

“Lelaki ini turut mempunyai rekod lampau, (iaitu) satu kes berkaitan akta racun... suspek ini terlibat dalam kegiatan menanam dan mengupah warga asing untuk memetik daun ketum sebagai pendapatan komersil dan menggaji warga asing tanpa permit kerja yang sah...wujud unsur eksploitas­i dan perkhidmat­an paksa,” katanya.

Katanya selain itu, polis turut merampas 1,025 kilogram daun ketum yang diisi dalam 205 bungkusan plastik bernilai antara RM15,000 hingga RM20,000 serta difahamkan jualan bulanan ketum itu boleh mencecah hingga RM60,000 sebulan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerd­agangan Orang dan Antipenyel­udupan Migran 2007 (Akta 670) serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia