Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM4.3 juta

-

KOTA BHARU: Polis Kelantan dengan kerjasama Polis Bukit Aman merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.3 juta dan menahan tiga lelaki dalam serbuan di Kampung Derdap, Limbat di sini serta Kampung Kepas di Pasir Mas, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dalam serbuan pertama di Kampung Derdap itu polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun dan susulan tangkapan itu pihaknya merampas 80.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang sudah siap dibungkus, 5,700 biji pil Eramin 5, 2,000 biji pil kuda serta 167 biji pil ekstasi.

“Dalam serbuan kedua di Kampung Kepas, Pasir Mas, pula polis telah menahan seorang lelaki, 30, dan merampas 467 gram syabu. Polis kemudianny­a membuat serbuan kali kedua di Kampung Derdap dan menahan seorang lelaki berumur 34 tahun, namun tiada rampasan.

“Serbuan secara berasingan itu dilakukan antara jam 3.55 dan 4.10 pagi,” katanya pada sidang media, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarul Saman Mamat, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam.

Beliau berkata serbuan itu dilakukan hasil risikan selama sebulan oleh sepasukan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kelantan.

Polis turut menyita dua kereta Perodua Myvi dan Proton Satria, sebuah motosikal dan wang tunai RM5,900 dengan nilai keseluruha­n RM65,000.

Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki yang ditangkap itu adalah kumpulan sama dan bergiat aktif sejak beberapa bulan lepas serta memperoleh bekalan dadah terbabit dari negara jiran untuk dipasarkan di Kelantan dan sekitar Lembah Klang, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia