Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan disaran sedia peruntukan lebih besar bagi keperluan kebajikan

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyediaka­n peruntukan lebih besar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya kadar bantuan yang disalurkan oleh jabatan itu di bawah pelbagai skim kebajikan kepada golongan miskin dan memerlukan boleh dinaikkan ke tahap yang lebih memuaskan, kata seorang aktivis sosial semalam.

Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia antara langkah yang boleh dipertimba­ngkan bagi menanam budaya penyayang dan prihatin dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Yayasan Basmi Kemiskinan perlu ditubuhkan di lebih banyak negeri untuk membantu memerangi kemiskinan, terutamany­a kalangan miskin tegar di negeri masing-masing.

“Sektor swasta pula perlu melaksanak­an peranan lebih besar dan dalam hubungan ini, sektor korporat seharusnya mewujudkan lebih banyak yayasan amal untuk membantu golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat. Yayasan seperti ini perlu menyumbang kepada keperluan pendidikan golongan miskin dan memerlukan,” kata Lee, yang juga Pengerusi Eco World Foundation, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata lebih banyak kempen awal perlu diadakan untuk meningkatk­an kesedaran rakyat Malaysia agar lebih bersikap prihatin dan penyayang dalam kehidupan seharian mereka.

Lee menegaskan sekolah merupakan tempat paling sesuai untuk menyemai sikap prihatin dan penyayang dalam kalangan kanak-kanak.

“Sebanyak mana pun wang tidak akan dapat menggantik­an nilai sentuhan insan dan sifat penyayang yang perlu kita galakkan serta semai di kalangan generasi muda,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia