Keseluruhan jumlah caruman terkumpul RM780.07 bilion, naik 9.55%
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat 9.99 peratus kenaikan dalam jumlah caruman diterima pada suku kedua kepada RM18.17 bilion berbanding RM16.52 bilion dicatatkan pada suku tahun sama tahun lepas.
Ini menjadikan keseluruhan jumlah caruman terkumpul sebanyak RM780.07 bilion, naik 9.55 peratus daripada RM712.04 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Datuk Mohd Naim Daruwish dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata sehingga akhir Jun 2018, jumlah ahli KWSP mencecah 14.0 juta, iaitu 7.2 juta merupakan ahli aktif mencarum dengan pendaftaran ahli baharu seramai 115,125 orang.
Pada suku tahun tersebut, jumlah pendaftaran majikan baharu susut 2.57 peratus kepada 14,568 daripada 14,952 pada suku tahun sama 2017, menjadikan keseluruhan jumlah majikan berdaftar dengan KWSP sehingga akhir Jun 2018 kepada 499,321.
Jumlah permohonan dilu- luskan untuk semua pengeluaran meningkat 4.87 peratus kepada 598,919 daripada 571,130 pada suku kedua 2017.
Ini termasuk jumlah yang dikeluarkan pada suku kedua 2018 sebanyak RM12.65 bilion berbanding RM12.48 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Mohd Naim berkata terdapat peningkatan ketara dalam jumlah permohonan diluluskan untuk pengeluaran fleksibel berbanding pengeluaran penuh.
KWSP mencatatkan kenaikan 48.65 peratus dalam permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun kepada 67,969 pada suku kedua 2018 daripada 45,723 dalam tempoh sama 2017. Jumlah pengeluaran naik kepada RM2.92 bilion daripada RM1.78 bilion.
Sementara itu, permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 60 Tahun mencatatkan peningkatan 43.16 peratus kepada 40,276 (RM861.30 juta) daripada 28,133 (RM637.61 juta) pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata KWSP gembira dengan pertumbuhan kukuh jumlah pengeluaran fleksibel pada setiap suku tahun, sambil menambah ini menunjukkan lebih ramai ahli memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam KWSP untuk terus menerima dividen ke atas baki simpanan mereka. — Bernama