Perbincangan kosongkan Parlimen untuk Anwar turut libatkan Wan Azizah: Rafizi
KUANTAN: Pengosongan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Presiden PKR (yang dipilih) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun dibincangkan sebelum ini bersama beliau dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dirinya dan beberapa pemimpin lain, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Menurutnya, perbincangan itu hanya melibatkan beberapa individu yang rapat dengan Anwar kerana memang dari segi operasi dan kempen parti itu selama ini, hanya mereka yang lebih rapat yang terlibat.
“Saya tidak akan sebut sesuatu yang melibatkan Datuk Seri Anwar dan Wan Azizah tanpa persetujuan mereka.
“Cuma ada keputusan penting tidak dibincangkan dengan semua dan hanya akan dilakukan dengan beberapa orang dalam kalangan kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Reformasi 20 tahun di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini malam kelmarin.
Naib Presiden PKR Tian Chua sebelum ini mengeluarkan kenyataan menyelar Rafizi ker- ana disifatkan mendahului Wan Azizah apabila mengumumkan akan ada kerusi Parlimen dikosongkan pada minggu hadapan bagi memberi laluan kepada Anwar sebagai persiapan untuk menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.
Tian Chua mempertikaikan tindakan itu yang dikatakan dilakukan secara sorok-sorok dan tidak diketahui oleh peringkat pimpinan parti.
Mengulas lanjut tentang kenyataan itu, Rafizi berkata terpulang kepada Tian Chua untuk membuat sebarang kenyataan hal tersebut. — Bernama