Gol sulung Schulz pastikan kemenangan milik Jerman
SINSHEIM, Jerman: Nico Schulz meraikan penampilan sulung bersama Jerman dengan bergaya apabila pemain pertahanan kelab Hoffenheim itu menjaringkan gol kemenangan lewat di hadapan penyokong sendiri untuk kemenangan tipis 2-1 ke atas Peru di sini Ahad lepas.
Diberikan penampilan sulung bersama Jerman di stadium di mana beliau bermain bersama kelabnya, Schulz, 25, mempamerkan aksi memberangsangkan di posisi pertahanan kiri ketika Jerman bangkit dari ketinggalan untuk mencipta kemenangan pertama mereka sejak tersingkir awal di Piala Dunia 2018 pada bulan Jun lepas.
“Saya gembira dengan Nico, beliau mempamerkan aksi yang menggalakkan hari ini (Ahad),” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew. “Beliau memberikan gambaran yang baik kepada saya pada sesi latihan.”
Jerman memberi keutamaan di benteng pertahanan ketika seri tanpa jaringan dengan Perancis pada perlawanan Liga Negara UEFA (UNL) tiga hari yang lalu tetapi mereka mengintai gol di Sinsheim dan mempunyai beberapa peluang pada 20 minit pertama.
Marco Reus mempunyai dua peluang terbaik sementara tandukan Matthias Ginter ditepis penjaga gol Peru, Pedro Gallese.
“Kami mempunyai lebih banyak peluang dan lebih gemar melakukan serangan hari ini berbanding ketika menentang Perancis,” kata Reus. “Dengan sedikit tuah dan fokus, saya mungkin boleh menyempurnakan beberapa peluang.”
Namun Peru membuka jaringan terlebih dahulu, sekali gus mendedahkan kelemahan pasukan tuan rumah dengan serangan pantas pada minit ke-22.
Ia mengimbau kembali kempen buruk di Piala Dunia apabila Luis Advincula melakukan larian pantas dari sayap kanan padang sebelum menewaskan penjaga gol Marc Andre ter Stegen.
Namun gol pendahuluan itu hanya bertahan tiga minit apabila Julian Brandt mengikat kedudukan dengan satu umpanan cantik melepasi Gallese.
Timo Werner menjangka beliau menjaringkan gol pen- dahuluan Jerman 10 minit kemudian tetapi gol itu tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid.
Werner dan Ilkay Gundogan kemudian menguji Gallese sekali lagi sebelum rehat.
Peru meningkatkan permainan selepas rehat dengan ter Stegen dipaksa beraksi tangkas dengan menepis satu tandukan Pedro Aquino.
Kedua-dua pasukan kelihatan cemas di benteng pertahanan tetapi jentera serangan mereka juga hambar sebelum Schulz menjaringkan gol kemenangan pada minit ke- 85 apabila merembat bola muntah. — AFP