MATRADE sasar peningkatan 30 peratus pengeksport wanita menerusi WEDP
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mahu melihat kenaikan 30 peratus pengeksport wanita menerusi Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP) dalam tempoh tiga tahun.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II, Pembangunan Pengeksport, Sharimahton Mat Salleh, berkata WEDP menyediakan latihan perniagaan, peningkatan kemahiran, pendedahan perniagaan antarabangsa, pembaharuan pasaran, sesi rangtaian dan mentoring, serta pembangunan kepimpinan dan keusahawanan untuk wanita.
“Sangat sukar untuk mencapai sasaran itu menjelang 2020 memandangkan data kami menunjukkan kini terdapat kurang daripada 20 peratus syarikat milik wanita yang mengeksport produk mereka, namun kami akan terus membantu syarikat-syarikat yang ingin mengembangkan pasaran ke luar negara.
“Kami mahu mendapatkan lebih ramai pengeksport wanita, terutama dalam sektor perkhidmatan bernilai tinggi seperti minyak dan gas, ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), dan aeroangkasa,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkongsian kisah kejayaan WEDP Matrade di sini baru-baru ini.
Sharimahton berkata WEDP telah menyediakan pelbagai manfaat kepada perniagaan milik wanita seperti Hana Medic Sdn Bhd, khusus dalam produk perubatan dan penjagaan diri.
“Sejak menamatkan program WEDP pada 2016, Hana Medic telah mengembangkan liputan eksportnya ke Emiriyah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, United Kingdom dan China. Sanitiser tangannya kini digunakan di banyak hospital, termasuk Hospital Universiti Sultan Qaboos di Oman, serta di Macao, Brunei, Myanmar dan Shenzen.
“Sebagai syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dalam pasaran peranti perubatan dan kepengunaan, yang didominasi syarikat multinasional, mendedahkan kami kepada cabaran sebenar, namun Hana Medic mampu bertahan dan mengatasi halangan.
“Ia berjaya memperluas akses pasarannya ke lebih dari lima wilayah baharu di seluruh dunia. Ini merupakan sesuatu yang kami banggakan,” katanya.
Sharimahton berkata 251 syarikat telah menamatkan progam WEDP sejak penubuhannya, manakala 73 sudah kini mengikutinya.
“Bagi 2017, 22 syarikat WEDP, terutama dalam segmen makanan dan minuman dan gaya hidup, serta produk dan perkhidmatan elektrik dan elektrikal, secara kolektif melaporkan jumlah jualan eksport sebanyak RM7.24 juta.
“WEDP akan menjadi pendorong kepada PKS milik wanita di Malaysia untuk meningkatkan daya tahan, daya saing dan ketabahan,” katanya. — Bernama