MUBARAK anjur Wacana Diraja peringkat zon untuk terap patriotisme
KUANTAN: Sebanyak 500 pemimpin belia, politik dan badan bukan kerajaan yang terdiri daripada pelbagai kaum dijangka akan menyertai program Wacana Diraja yang bertajuk ‘Raja Perlembagaan dan Patriotisme’ yang akan diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan, Lipis pada 9 Okt ini.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, program buat kali kedua itu diadakan dengan kerjasama Jemaah Pangkuan Diraja Pahang, setelah mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri, berikutan kejayaan penganjuran sebelum ini.
“Kali pertama program ini diadakan di peringkat negeri pada bulan Februari lalu melibatkan penyertaan 630 peserta dan kali ini kita mahu program yang sama sampaikan ke akar umbi dengan mengadakan penganjuran di peringkat zon pula,” katanya kepada pem- berita di sini, semalam.
Untuk zon Pahang Barat, katanya akan melibatkan daerah Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Highlands dengan IPG Lipis sebagai tuan rumah, sebelum ia diadakan di peringkat zon Pahang Tengah melibat daerah Temerloh, Jerantut, Bera dan Pahang Timur terdiri daripada daerah Kuantan, Pekan dan Rompin.
Beliau berkata, peserta program akan melibatkan setiap lapisan masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Sikh bagi membolehkan mereka didedahkan tentang Institusi Diraja negeri Pahang, perlembagaan, dan menyerapkan rasa cinta kepada negeri Pahang.
Melalui penganjuran ini, katanya diharap peserta dapat menghayati perlembagaan yang menjadi payung semangat cintakan negara untuk diserap ke peringkat pertubuhan masing-masing yang dilihat semakin longgar terutama dalam kalangan anak-anak muda. — Bernama