Melaka terima Anugerah OPCC WWF
SEPANG: Usaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam menangani isu perubahan iklim mendapat pengiktiran dunia apabila Melaka memenangi Anugerah ‘One Planet City Challenge’ (OPCC) di San Francisco, Amerika Syarikat.
MBMB yang mewakili Malaysia menewaskan 132 bandar raya lain dari 23 negara yang mengambil bahagian pada majlis yang berlangsung di bangunan ‘The Native Son Of The Golden West’, antara bangunan bersejarah di San Francisco, serta muncul sebagai pihak berkuasa tempatan Malaysia pertama meraih anugerah itu.
Dianjurkan ‘World Wide Fund for Nature’ (WWF) Sweden, OPCC merupakan medium di mana bandar raya yang mengambil bahagian akan melaporkan program serta projek adaptasi dan mitigasi yang dijalankan bagi mengatasi isu perubahan iklim yang membimbangkan kepada penganjur untuk penilaian.
Datuk Bandar MBMB Datuk Azmi Hussain berkata, antara usaha menjadikan Melaka sebagai bandar raya hijau ialah program pengindahan Sungai Melaka, pemasangan 1,000 lampu diod pemancar cahaya (LED) dan kempen penanaman 15,000 pokok di seluruh kawasan di bawah pentadbiran majlis itu.
“Anugerah ini cukup signifikasi kepada kami dan kerajaan negeri amnya, satu bukti menunjukkan inisiatif dan usaha yang dilakukan berada di landasan yang betul dan diiktiraf dunia,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari San Francisco di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Berikutan kejayaan itu, Azmi berkata, MBMB akan menambah pemasangan 6,000 lagi lampu LED dan menanam 15,000 pokok secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.
“MBMB juga merancang memperbanyakkan laluan basikal di pusat bandar dan mewujudkan kawasan ‘park and ride’ bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku pada hujung minggu sekali gus berupaya mengurangkan kadar pelepasan asap kenderaan,” katanya.
Azmi berkata, rancangan itu adalah seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam mengurangkan kadar intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030. — Bernama