Serangan Israel di sempadan Gaza, dua maut
KOTA GAZA: Dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan rejim Israel ke atas sempadan Gaza, menurut kementerian kesihatan Hamas awal semalam.
Jurucakap kementerian menyatakan, mayat dua lelaki telah dibawa ke hospital di selatan Gaza selepas serangan pada jam 11 malam waktu tempatan kelmarin.
Beliau tidak mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa.
Pihak rejim Israel menyatakan lewat kelmarin bahawa kedua- dua lelaki tersebut disasarkan selepas menanam sejenis objek mencurigakan berdekatan pagar sempadan.
“‘Pengganas’ menghampiri dalam keadaan mencurigakan pagar keselamatan di selatan Semenanjung Gaza dan meletakkan satu objek berhampiran pagar.
“Sebagai respons, sebuah jet pejuang telah melepaskan tembakan ke arah mereka,” menurut kenyataan daripada rejim.
Dalam kejadian berasingan petang kelmarin, sekurangkurangnya 26 rakyat Palestin ditembak semasa bantahan baharu di utara Gaza, menurut kementerian.
Sejak bantahan bermula pada 30 Mac, sekurangkurangnya 181 rakyat Palestin telah dibunuh tentera Israel.
Majoriti ditembak semasa mengadakan bantahan, namun yang lain disasari dalam serangan udara dan ditembak oleh kereta kebal.
Hanya seorang anggota tentera Israel telah terbunuh, ditembak oleh seorang penembak tepat. — AFP