Empat pasukan mara ke separuh akhir kejohanan KSRJPS 2018
KUCHING: Kejohanan Bola Sepak Jemputan KSRJPS 2018 Edisi Kelima semakin menghampiri penghujung dengan empat pasukan mengesahkan slot ke separuh akhir.
Selepas berentap sengit pada peringkat kumpulan, pasukan Mara FC unggul dalam Kumpulan A dengan 10 mata sambil diekori Masja-SA dengan tujuh mata.
Dua lagi pasukan layak ke separuh akhir ialah ULKL UNIMAS dan SIFT (Jabatan Imigresen) dengan keduanya mengumpul sembilan mata.
Perlawanan separuh akhir akan diadakan ada 23 September ini di Padang Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah.
Mara FC akan menentang SIFT pada jam 3.15 petang disusuli pertembungan antara Masja-SA dan ULKL UNIMAS jam 4.45 petang.
Kejohanan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak yang bermula 5 Ogos lalu menampilkan 10 pasukan dari jabatan/agensi kerajaan yang dijemput termasuk pasukan tuan rumah, FC DOSM.
Menurut penyelaras kejohanan, Mohamad Romze Arbi kejohanan edisi kelima ini adalah percubaan yang pertama dijalankan dalam tempoh dua bulan di mana pada edisi-edisi yang lepas hanya dijalankan secara karnival selama dua hari.
“Alhamdulillah. Semua berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua pasukan dan ahli jawatankuasa penganjur yang terlibat atas kerjasama sepanjang kejohanan.
“Tidak lupa juga kepada Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak, Puan Roslawati Yahya yang turut hadir untuk merasmikan kejohanan seterusnya menyaksikan perlawanan yang berlangsung,” tambah Mohamad Romze.