Hun Sen nafi keputusan itu dibuat kerana tunduk kepada ‘tekanan antarabangsa’
PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Sen semalam menangkis spekulasi bahawa beliau telah tunduk kepada tekanan antarabangsa selepas seorang ketua pembangkang dibebaskan dari penjara, mendakwa keputusan itu dibuat untuk kesihatan dan keselamatan musuhnya yang sedang sakit.
Kem Sokha, pengasas bersama Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP), telah ditangkap atas tuduhan pengkhianatan pada September, dua bulan sebelum Mahkamah Agung membubarkan partinya.
Langkah tersebut muncul semasa satu tindakan keras besar diketuai oleh pemimpin berusia 66 tahun itu dan membuka jalan bagi kemenangan mudah dalam pilihan raya pada Julai yang telah dikecam sebagai sesuatu yang memalukan.
Namun selepas pilihan raya itu Hun Sen telah kembali kepada satu corak untuk bersikap tenang terhadap tentangan dan beberapa aktivis dan bekas anggota pembangkang dibebaskan.
Kem Sokha merupakan yang paling disegani daripada mereka yang lain dilepaskan dan pembebasannya pada 10 September dengan ikat jamin telah mencetuskan beberapa teori bahawa Hun Sen berasa bimbang industri pakaian yang besar di negara ini akan kehilangan akses bebas cukai ke pasaran Eropah.
Ahli-ahli Parlimen Eropah telah menunjukkan kebarangkalian untuk menilai semula skim urus niaga tersebut.
Namun ketua parti pemerintah Parti Rakyat Kemboja (CPP), yang telah memegang kuasa selama lebih 33 tahun, memberitahu para pekerja industri pakaian dalam satu ucapan bahawa beliau tidak akan tunduk kepada “tekanan antarabangsa”.
“Ia hanya perubahan bagi lokasi penahanan dalam kes dia masih dipenjarakan dan menimbulkan masalah kepada kerajaan,” tegas Hun Sen, tidak menyebut tentang perjanjian bebas cukai.
Beliau menambah bahawa keputusan adalah disebabkan oleh “kebimbangan bersifat kemanusiaan dan keselamatan terhadap suspek”.
Sokha, 65, telah meringkuk selama lebih setahun di dalam sebuah penjara terpencil berhampiran sempadan Vietnam sebelum dibebaskan.
Sepanjang tempoh penahanannya dia telah beberapa kali tidak dibenarkan untuk diikat jamin malah ketika peguamnya menyatakan tentang sakit darah tinggi dan diabetes yang dialami oleh Sokha.
Syarat bagi ikat jaminnya adalah teruk. Dia dikehendaki tinggal di dalam jarak satu blok dari kediamannya dan dilarang untuk menemui rakyat asing atau menganjurkan rali politik.
Peguamnya, Meng Sopheary, berkata ketua pembangkang itu telah mengambil ubat- ubatan secara kerap namun masih memerlukan pemeriksaan penuh.
“Sokha akan berasa gembira sekiranya dia mendapat kebebasan sepenuhnya,” Sopheary memberitahu AFP.
Amerika Syarikat telah meneruskan sekatan perjalanan terhadap pegawai kanan Kemboja sebagai respons terhadap pilihan raya namun setakat ini negara tersebut hanya menerima sedikit kesan daripada pilihan raya yang penuh cacat-cela itu.
Parti pemerintah menyatakan ia telah memenangi lebih 80 peratus undian dan semua kerusi dalam parlimen, menjadikan Kemboja sebagai sebuah negara dengan satu parti.
Namun pengkritik mendakwa pilihan raya telah dicemari dengan ketidakhadiran ramai pesaing yang boleh dipercayai dan ugutan terhadap pengundi ketika peringkat awal pilihan raya.
Sebelum pembubarannya, parti Sokha telah memberi ancaman terbesar terhadap Hun Sen baru- baru ini, memenangi lebih 43 peratus undian dalam pilihan raya pada 2013.
Hun Sen masih kekal teguh ketika berdepan dengan kritikan, memberitahu satu persidangan wilayah di Hanoi pada minggu lepas bahawa kerajaan Barat seharusnya menjauhkan diri dari politik Asia Tenggara. — AFP