Lonjakkan sektor pertanian agar negeri menjadi pengeksport produk berkualiti, penuhi pasaran domestik dan global
LIMBANG: Sarawak tidak mahu kekal sebagai pengimport produk pertanian, justeru sektor pertanian negeri perlu terus dilonjakkan untuk muncul sebagai pengeksport hasil pertanian berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran domestik dan global.
Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sektor pertanian melalui tanaman, ternakan dan perikanan darat mempunyai potensi besar untuk diusahakan dan dimajukan dalam memenuhi permintaan domestik.
Pada masa sama jelasnya, hasil pertanian yang dipasarkan ke luar negara mampu menjadi penyumbang kepada pendapatan negara dan keluarga.
“Kerajaan akan sentiasa membantu dalam memastikan sektor pertanian dapat dimajukan.
“Sektor pertanian dapat menjadi penyumbang utama pendapatan negara dengan memodenkan sistem pertanian di negeri ini,” ujarnya pada Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Sinar Masyarakat Limbang Berhad kali keempat di sini, semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi Koperasi Sinar Masyarakat Limbang Berhad Penghulu Andreas Etong Bayong.
ADUN Bukit Kota itu berkata, Kementerian Pertanian mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang dengan mengadakan kerjasama dengan pihak berkepent- ingan dalam pertanian iaitu petani dan pengusaha ikan kolam yang merupakan rakan karib kementerian.
“Kita diibaratkan seperti isi dan kuku dalam mewujudkan hubungan rapat untuk memajukan produk pertanian yang diusahakan,” jelasnya.
Kata beliau, kementerian amat menggalakkan masyarakat melibatkan diri secara aktif dalam usaha untuk memajukan diri, keluarga dan masyarakat dalam pelbagai bidang.
Antaranya, industri kecil dan sederhana (IKS), kraf tangan, kuih-muih dan aktiviti pertanian yang rapat dengan masyarakat luar bandar sekali gus menarik minat golongan muda untuk terlibat aktif dalam sektor pertanian, katanya.
Menurutnya lagi, penubuhan koperasi bagi masyarakat Lun Bawang, Tabun, Kelabit dan Penan satu usaha terbaik untuk memajukan ekonomi keluarga.
Terdahulu, Andreas berkata, Koperasi Sinar Masyarakat Limbang Berhad yang ditubuhkan pada 2012 meliputi Lun Bawang, Tabun, Kelabit dan Penan membabitkan 25 kampung dan mempunyai 52 syer sepenuhnya.
Koperasi itu katanya, berfungsi untuk memfokus kepada aktiviti pertanian dengan mengusahakan tanaman daun lirik yang mempunyai permintaan dan pasaran di Brunei.
Pada majlis itu, Dr Abdul Rahman memgumumkan RM15,000 untuk pembinaan pasar borong yang diusahakan di bawah koperasi itu.