Pemeriksaan dan pemantauan berhubung pelaksanaan SST akan diteruskan ke atas 729 premis di seluruh Sarawak
LIMBANG: Sebanyak 50 aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta 25 amaran berkaitan kesalahan- kesalahan lain di bawah SST sejak diperkenalkan pada 1 September lepas.
Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Sarawak Mohd Nawawi Abdul Rahman berkata, bagaimanapun belum ada tindakan dikenakan kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah SST setakat ini.
Beliau memberitahu, pemeriksaan dan pemantauan berhubung pelaksanaan SST akan diteruskan ke atas 729 premis di seluruh Sarawak dengan pemantauan melibatkan 21,870 barangan.
“Untuk pemantauan SST, seramai 201 pegawai penguat kuasa terlibat dalam pemeriksaan di seluruh bahagian di negeri ini yang turut dibantu Pegawai Pemantau Harga selain menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kastam,” ujarnya ketika mengadakan pemeriksaan SST di Supermarket Choon Chong di sini semalam.
Mohd Nawawi menjelaskan, pihak kementerian sudah melantik pegawaipegawai untuk memantau Petunjuk Prestasi Utama ( KPI) lima premis untuk seorang pegawai dengan setiap premis minimum 30 item bagi memastikan semua kawasan liputan dipantau bagi mengelak berlakunya aktiviti pencatutan di peringkat peruncit.
“Di Limbang dan Lawas, seramai sembilan pegawai dan 14 penguat kuasa juga akan mengadakan pemantauan dan pemeriksaan SST secara berterusan di beberapa kedai yang ada di bahagian ini,” jelasnya.
Beliau menambah, maklum balas daripada orang ramai amat diperlukan sekiranya terdapat kenaikan harga atau terkilan dengan harga barang yang tidak sepatutnya dikenakan peniaga.
“Pelanggan juga diminta menghubungi atau WhatsApp ke talian catut 0192794317 untuk tindakan lanjut yang mana nombor terbabit telah dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail baru- baru ini sebagai platform pemudah cara kepada orang awam bagi memastikan KPDNHEP pantas memberikan respons,” ujarnya lagi.
Orang ramai tegasnya, perlu membuat aduan melalui saluran yang betul, justeru tidak menggalakkan pengguna yang terkilan dengan harga dan sebagainya memuat naik aduan dalam Facebook atau Twitter memandangkan ia bukan saluran yang sah.
Mohd Nawawi turut memberi amaran keras kepada para peniaga agar mematuhi peraturan yang dikenakan sekali gus mengelak dikenakan tindakan tegas.
Turut sama ialah Ketua Cawangan KPDNHEP Bahagian Limbang Pulnama Tarah.