Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tembak mati dua warga asing terbabit samun

-

KULAI: Dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat kes samun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke FELDA Sayong di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, pihak polis yang sedang membuat rondaan di Taman Manis dekat sini mengesan sebuah kereta yang mencurigak­an.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, beliau berkata arahan pihak polis agar suspek memberhent­ikan kenderaan mereka tidak diendahkan, sebaliknya bertindak merempuh kereta polis dan melarikan diri sebelum dikejar oleh polis sejauh dua kilometer, katanya.

“Kereta yang dinaiki penjenayah itu kemudianny­a terbabas dan beberapa das tembakan telah dilepaskan dari kenderaan tersebut.

“Dalam usaha pihak polis mempertaha­nkan diri, kita telah melepaskan beberapa das tembakan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek warga asing yang berusia 30-an itu maut di tempat kejadian dan pemeriksaa­n lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan sepucuk revolver, sebilah parang, topeng muka dan sarung tangan.

“Kita percaya suspek-suspek ini adalah mereka yang terlibat dengan kes-kes samun di sekitar Johor terutamany­a di kawasan Johor Bahru, Pontian, Kulai dan kawasan sekitar,” katanya.

Menurutnya kumpulan yang dianggotai suspek dipercayai terlibat dalam kirakira 15 kes samun dengan yang terakhir di Pontian, semalam.

Polis kini memburu sakibaki anggota kumpulan itu yang dipercayai aktif menyamun sejak enam bulan lalu, katanya menambah kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin berkata setakat ini pada tahun ini, pihaknya menerima laporan kira-kira 50 kes samun melibatkan warga asing di negeri berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia