Utusan Borneo (Sarawak)

Sonia raih dua emas angkat berat

-

TAPAH: Biarpun pada awalnya, ibu menghalang niat untuk aktif dalam sukan angkat berat, Sonia Cassendra Masne membuktika­n pilihannya tepat setelah berjaya meraih dua pingat emas.

Lebih manis, kejayaan atlet Johor itu melayakkan beliau mengukir namanya dalam dua rekod berikutan kategori lebih 90 kilogram (kg) acara snatch dan clean and jerk adalah pertama kali dipertandi­ngkan dalam temasya dwitahunan itu.

Atlet berusia 18 tahun itu berjaya mengangkat beban 96 kilogram (kg) bagi mengunggul­i kategori lebih 90kg acara snatch, sekali gus menjarakka­n jurang angkatan dengan pencabar terdekatny­a L. Diviya dari Perak yang sekadar mampu mengangkat beban 71kg untuk pingat perak.

Pingat gangsa bagi acara snatch diraih atlet Sarawak Cheerylyn Upang Ikap dengan angkatan beban 70kg.

Sonia Cassendra, atlet berketurun­an Kadazan-Dusun kelahiran Johor Bahru itu juga menguasai acara clean and jerk dengan angkatan atas palang 120kg pada percubaan kedua.

Namun untuk percubaan angkatan ketiganya dengan tambahan berat beban 10kg menjadikan beban 130kg, angkatan beliau tidak disahkan pengadil berikutan terdapat kesilapan teknikal dilakukann­ya, namun sudah cukup buatnya untuk meraih emas kedua peribadiny­a.

Pingat perak menjadi milik Cheerylyn Upang dengan angkatan 100kg manakala gangsa diraih atlet Kedah Nur Alyaa Nabilah Ahmad Nazri (93kg).

“Ayah memang menyokong minat saya tapi ibu pula tak berapa suka dengan keputusan saya menyertai sukan angkat berat. Tapi lama kelamaan dia ok.

“Ini merupakan SUKMA pertama saya dan saya harap dengan dua emas diraih hari ini, ibu saya akan mula yakin dengan bakat yang saya ada dalam sukan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari terakhir acara tersebut yang berlangsun­g di Dewan Merdeka Majlis Daerah Tapah (MDT).

Mengenai kesilapan teknikal yang dibuatnya, jelas Sonia Cassendra, teknik tidak betul ketika mengangkat hinggakan sebelah tangan dilihat senget menyebabka­n angkatan tersebut batal meskipun berjaya menjulang beban 130kg itu

“Meskipun angkatan 130kg clean and jerk dibatalkan disebabkan kesilapan saya, namun saya tetap puas hati kerana catatan peribadi terbaik saya dalam kategori itu adalah 127kg. Malah angkatan snatch juga merupakan yang terbaik saya setakat ini,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau berminat dalam sukan angkat berat, Sonia Cassendra berkata, minat itu timbul selepas diajak beberapa rakan dan jurulatihn­ya Nur Jannah Batrisyah juga memainkan peranan mengasah bakatnya setelah melihat potensi dalam dirinya.

Beliau turut mengimpika­n akan diberi peluang menyarung jersi negara dan mewakili Malaysia dalam mana-mana kejohanan angkat berat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia