Pertarungan buru gelaran Raja Air Batang Kayan hari ini
LUNDU: Pertarungan memburu gelaran Raja Air Batang Kayan bermula hari ini (Sabtu) sempena Regata Batang Kayan 2018.
Regata Lundu antara acara utama berlangsung sempena Pesta Lundu 2018 bakal berakhir pada esok (Ahad) di Tebingan Lundu.
Pegawai Daerah Lundu, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata Regata Lundu sememangnya ditunggu-tunggu peminat sukan air yang popular kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
Menurut beliau, bagi acara kemuncak bidar 30 pekayuh lelaki akhir tempat pertama menerima wang tunai RM4,000 dan Piala Pusingan serta diikuti tempat kedua (RM3,000) dan ketiga (RM2,000).
Tambah beliau, acara dijangka mencuri tumpuan ialah bidar 10 pekayuh wanita terbuka dan bidar 15 pekayuh campuran.
Sebanyak 12 pasukan bertarung merebut wang tunai keseluruhan berjumlah RM30,000 yang ditawarkan.
Daripada jumlah tersebut, enam pasukan adalah dari sekitar Lundu manakala selebihnya dari Kuching, Kota Samarahan, Simunjan dan Gedong.
Antara yang menyertai perlumbaan ialah Yayasan Sarawak, Puteri Kilat, Putera Gading (GP Jang), LANDAS, Nyolong Sakti, Buraq Terbang 1, Sinaran Ratu Balqis, Sinaran Ratu Siksa.
Selain itu, antara acara sukan air yang berlangsung ialah perlumbaan bot laju 10 kuasa kuda (HP), 18HP dan 30HP.
Beberapa acara berlangsung sempena Pesta Lundu 2018 iaitu perahu berhias, bermukun, ‘street soccer’, muaythai, dart, autoshow, festival kek bulan, pentas hiburan, karaoke, memancing, pameran dan jualan usahawan dan banyak lagi.