Ia aset boleh ‘dijual’, mempunyai nilai tinggi apabila proses inventori perhutanan negara siap
MIRI: Malaysia bakal memiliki ‘Bon Hijau’ yang merupakan aset negara yang boleh ‘dijual’ dan mempunyai nilai tinggi di pasaran dunia, apabila proses inventori perhutanan negara, lengkap sepenuhnya, dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan kini sudah memulakan dan dalam proses melakukannya serta akan mengambil masa bertahun kerana ia turut bergantung kepada keluasan kawasan hutan, terutama di Sarawak.
“Ya, inventori perhutanan ini adalah satu kemestian. Saya gembira Kerajaan Sarawak sudah mula melaksanakan inventori perhutanan ini dan kita berharap Sabah pula akan mengikut jejak Sarawak selepas ini.
“Kita akan membiayai kos pelaksanaan program inventori ini sepenuhnya, kerana ia adalah aset yang kita boleh jual.
“Seperti yang anda tahu, kita boleh menjual ‘Bon Hijau’ dan inilah aset yang kita ada. Sebelum ini kita tidak memilikinya kerana kita tiada statistik mengenainya (hutan negara),” ujar beliau.
“Justeru, apabila kita sudah ada statistik ini, kita boleh menjual ‘aset’ ini. yang sudah mempunyai pasarannya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat trilateral atau persidangan tiga tahun sekali ‘Heart of Borneo (HoB) 2018, antara tiga negara, Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam yang berlangsung selama tiga hari di Miri.
Mengenai kos pembiayaan projek tersebut, beliau berkata kementeriannya akan memasukkan peruntukan tersebut dalam bajet kerana ia juga adalah atas arahan daripada kabinet untuk di- laksanakan.
“Kementerian memang memberi peruntukan pada setiap tahun (kepada kerajaan negeri), cuma kali ini ia memerlukan lebih agihan.
“Namun peruntukan kali ini pula akan bergantung kepada bajet yang kita ada dan seperti yang anda maklum, bajet kita pada masa ini agak terhad disebabkan masalah hutang negara yang masih tinggi.
“Bagaimanapun kita akan berusaha mendapatkan dana ini,” katanya sambil menambah, kerajaan pusat bersedia membantu Kerajaan Sarawak khususnya keperluan kewangan untuk mengawal dan melindungi hutan dan alam sekitar demi kebaikan rakyat dan negara.
“Oleh sebab itu saya amat menggalakkan sektor swasta terlibat sama dalam usaha ini, dengan itu ia akan membantu kita dari segi pembiayaan,” tambahnya.
Sehubungan itu negara
Ya, inventori perhutanan ini adalah satu kemestian. Saya gembira Kerajaan Sarawak sudah mula melaksanakan inventori perhutanan ini dan kita berharap Sabah pula akan mengikut jejak Sarawak selepas ini. Dr Xavier Jayakumar Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli
perlu menunjukkan kekayaan sumber aslinya dan menjemput orang ramai serta sektor swasta untuk datang menabung bagi tujuan pengurusan hutan tersebut.
Dr Xavier berkata beliau yakin Kerajaan Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan inisiatif seumpama itu dan mengakui bahawa kerajaan pusat amat berminat dengan projek tersebut.
Terdahulu dalam ucapannya di majlis tersebut, Dr Xavier memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus menyokong pelaksanaan Inisiatif HoB dengan mengalukan pendekatan holistik oleh negara-negara terbabit, bagi memastikan kawasan HoB kekal dilindungi dan dipulihara menerusi agenda pembangunan mampan.
Justeru katanya, pemilihan tema persidangan kali ini, iaitu pemuliharaan dan pembangunan mampan bersepadu dalam landskap- landskap HoB adalah amat perlu dan tepat pada masanya, untuk perkongsian faedah yang lebih saksama dan bagi mengurang- kan kehilangan biodiversiti.
Tujuan pembangunan mampan tersebut juga adalah untuk mengimbangi ekonomi, alam sekitar dan keperluan sosial agar kemakmuran tersebut dapat dinikmati bukan sahaja oleh generasi pada hari ini, tetapi juga pada masa akan datang.
Turut hadir Menteri Muda Perancangan Bandar, Pengurusan Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Len Talif Salleh yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia Datuk Dr Tan Yew Chong, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Hamden Mohammad, Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam Muhd Safwan Abdullah Bibi, Ketua Delegasi Indonesia Muksin dan Ketua Delegasi Malaysia Frederick Kugan.