Ahli di Sarawak harus bubarkan PKR yang bermasalah: Francis Siah
KUCHING: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak harus membubarkan parti itu kerana ia adalah parti yang bermasalah, kata Pengerusi Pengasas Movement For Change Sarawak ( MoCS) Francis Siah.
Meskipun ia parti terbesar dalam Pakatan Harapan ( PH) kata Francis, PKR telah menimbulkan banyak masalah di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, ini kerana terdapat perbalahan dalam parti sekarang yang tidak diingin lihat oleh rakyat Malaysia atau pengundi selain perbalahan dalam PKR di Semenanjung Malaysia yang semakin kotor telah memecahbelahkan parti itu.
“PKR sekarang dilihat sebagai apa yang saya sebut iaitu sebuah parti di mana sesiapa sahaja mahu menjadi jeneral dan bukannya askar.
“Kita tidak mengundi parti atau ahli politik atau mengubah kerajaan tetapi selepas memegang kuasa, berlaku percakaran seperti anjing dengan kucing antara satu sama lain.
“Ini adalah masalah PKR di Semenanjung Malaysia hari ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sehubungan itu, Francis mencadangkan kepada wakil rakyat PKR di Sarawak sekarang untuk menyertai parti lain dalam PH atau menubuhkan parti baharu.
“Cadangan saya yang paling ideal bagi mereka ialah untuk menghidupkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan semua mereka boleh menyertai parti itu,” katanya.
Francis berkata, SNAP menyumbang Ketua Menteri pertama Sarawak dan ketua pembangkang pertama di Malaysia.
Beliau menceritakan bagaimana pada 1974, Ahli Parlimen Dato Sri Edmund Langgu dari SNAP menjadi ketua pembangkang Malaysia selepas mengambil alih peranan itu daripada Lim Kit Siang.
“Ini adalah bekas pemimpin SNAP tetapi parti itu sendiri adalah parti yang disegani malah saya rasa sehingga kini.
“Maka itu, saya mencadangkan kepada wakil rakyat sekarang yang baik daripada PKR Sarawak agarmembubarkan parti itu di negeri ini kerana wakil rakyat di PKR Sarawak sewajarnya menganggotai parti yang lebih baik daripada PKR,” katanya.
Francis memberi amaran bahawa budaya yang beliau panggil budaya ultra Melayu dalam PKR tidak harus digalakkan di Sarawak kerana rakyat Sarawak tidak memerlukan budaya itu.
Menurutnya, PKR dilihat sebagai parti yang mencetuskan huru-hara di negara ini.
“Kita warga Malaysia mengundi PH dan PKR sebagai parti terbesar dalam PH harus mendisiplinkan diri.
“Saya tinggal di Kuala Lumpur selama bertahuntahun dan saya tahu ramai orang di Kuala Lumpur tidak gembira dengan PKR dan kita di Sarawak tidak mahu budaya ultra Melayu itu menyusup ke dalam budaya kita di Sarawak,” tegasnya.
Francis mendakwa segelintir pemimpin PKR di Semenanjung Malaysia adalah pemutar belit.
Beliau berkata, selepas pilihan raya, beberapa orang daripada mereka sudah mula merancang sesuatu dengan tidak turun padang dan (tidak) bekerja untuk rakyat seperti yang diinginkan oleh rakyat.
Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( BERSATU) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu sama sekali datang ke Sarawak.
Beliau percaya rakyat Sarawak amnya tidak memerlukan BERSATU di Sarawak tetapi ia sepatutnya menjaga parti itu di Semenanjung Malaysia.
“Saya tahu mungkin terdapat ahli politik Melayu yang tidak berpuas hati, yang tidak ada parti, yang telah disisihkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahupun parti pembangkang lain, yang mahu membawa BERSATU ke Sarawak untuk sekadar dijadikan platform politik.
“Bukankah kita sudah cukup banyak parti politik di Sarawak? Kita sudah ada lebih daripada mencukupi,” katanya.