Saya menentang perjanjian perdagangan berkenaan kerana ia bukan perjanjian perdagangan yang adil: Dr Mahathir
NEW YORK: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia masih mengkaji kebaikan dan keburukan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya.
CPTPP adalah perjanjian perdagangan yang dirunding- kan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) setelah Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada TPP.
Semasa sesi pertemuan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR) di New York pada Rabu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa rundingan mengenai TPP telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini yang beliau tidak terlibat.
“Saya menentang perjanjian perdagangan berkenaan kerana ia bukan perjanjian perdagangan yang adil kerana ia memberi kuasa kepada syarikat untuk menyaman kerajaan untuk kehilangan keuntungan masa depan dan perkara- perkara seperti itu.
“Saya fikir ia terlalu berbahaya untuk dikaitkannya dengan negara-negara kecil,” kata Perdana Menteri yang berada di New York dalam lawatan kerja selama lima hari, di mana beliau akan menghadiri sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dr Mahathir juga melahirkan kebimbangan yang TPP cenderung untuk mengambil pendirian yang hampir antiChina dan dia berasakan apa- apa perjanjian perdagangan di kawasan itu mesti merangkumi semua negara dan tidak seharusnya ada diskriminasi.
“Sebab itulah kami tidak membuat sebarang keputusan muktamad mengenai perjanjian perdagangan tersebut. Kami masih melihat kebaikan dan keburukan. Malaysia mempunyai masalah yang tersendiri kerana kami sedang dalam proses membentuk semula ekonomi kami, iaitu, ke arah yang lebih adil di kalangan kaum di Malaysia,” katanya.
Apabila ditanya pandangan Malaysia mengenai masa depan TPP selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada pakatan perdagangan berkenaan, Dr Mahathir berkata, kerajaan baru tidak begitu memikirkannya, sam- bil menambah “kami perlu memikirkan jenis dasar yang akan kami ada mengenai isu itu.”
Perjanjian yang disemak semula (CPTPP) itu ditandatangani 11 negara anggota TPP, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam pada 8 Mac tahun ini. — Bernama